.

Get cash from your website. Sign up as affiliate.
Showing posts with label model ekonomi baru. Show all posts
Showing posts with label model ekonomi baru. Show all posts

Tuesday, September 25, 2012

Menjelang Bajet 2013




Menjelang 28 September ini , pastinya tumpuan seluruh Warga Malaysia terarah kepada belanjawan yang bakal dibentang pemerintah . Halangan besar pemerintah adalah menguruskan hutang negara yang kini dikhabarkan berada sekitar RM450 bilion bersamaan dengan 53% daripada Kadar Dalam Negara Kasar .Sejak 15 tahun yang lalu , pemerintah membentangkan belanjawan defisit .Menteri Kewangan ke-2 , Ahmad Husni Hanadzlah baru-baru ini memberi gambaran bahawa rangka belanjawan 2013 akan meletakkan sasaran defisit lebih rendah berbanding 4.7% pada tahun 2012 . Dalam situasi begini , jangkaan , pemerintah akan lebih berhati-hati dalam pengagihan wang negara dan tidak sewenang-wenangnya melayan pelbagai tuntutan .


Bagi memenuhi janji untuk menjadikan masyarakat Malaysia berpendapatan tinggi menjelang tahun 2020 , Bajet pemerintah diandaikan dirangka bagi merangsang supaya pertumbuhan ekonomi negara berada sekitar 6% sesuai dengan matlamat Model Ekonomi Baru . Berdasarkan Laporan Ekonomi Suku ke-2 tahun 2012 yang dikeluarkan oleh Bank Negara , pertumbuhan ekonomi negara kini dipacu oleh permintaan domestik yang terus meningkat.Pemerintah dijangka akan berbelanja menerusi projek-projek pembangunan besar dan memberi galakan agar pengguna terus berbelanja bagi menggerakkan ekonomi . Untuk itu tidak mustahil dalam belanjawan 2013 bantuan kewangan kepada rakyat serta langkah-langkah meningkatkan pendapatan boleh belanja rakyat diberikan.


Belanjawan 2013 juga menarik untuk diamati . Kerajaan dijangka memberi respon terhadap usaha menambah pelaburan dengan memberi insentif cukai terhadap pelbagai sektor ekonomi terpilih di bawah NKEA yang dirasakan akan memberi impak terhadap GNI ke arah menjadi negara berpendapatan tinggi .Disebalik semua usaha pemerintah menarik pelaburan berimpak tinggi yang boleh memberi peluang pekerjaan kepada rakyat dengan gaji yang lumayan , tidak cukup rasanya jika institusi pendidikan tidak diperkasa. Dengan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025 yang baru dibentangkan pada 11 September yang lalu , kita boleh menjangkakan bidang pendidikan bakal menerima peruntukan besar dalam belanjawan kali ini.Melalui Pelan Pembangunan Pendidikan ini negara dikatakan berada dalam transisi negara berpendapatan tinggi dengan menyediakan warga muda Malaysia faham ekonomi baru iaitu pengetahuan , teknologi dan inovasi.

Melalui pembentangan belanjawan 2013 , Warga Malaysia pasti menunggu reaksi pemerintah terhadap harga rumah yang dikatakan terlalu tinggi dan tidak munasabah .  Golongan berpendapatan sederhana di bandar kini dikatakan miskin kerana harga barangan serta perkhidmatan kian mahal . Mungkin pemerintah akan memberi respon terhadap perkara ini.Pemerintah juga dijangka memperkasakan NKRA iaitu mengurangkan jenayah , memerangi rasuah , isu pendidikan , meningkatkan taraf hidup golongan berpendapatan rendah , meningkatkan prasarana di luar bandar serta menambah baik pengangkutan awam .



Friday, September 30, 2011

Jangkaan Bajet 2012




Belanjawan tahunan Malaysia untuk tahun 2012 dijangka akan dibentangkan oleh Menteri Kewangan yang juga Perdana Menteri Malaysia , Najib , pada 7 Oktober 2011 . Intipati Belanjawan 2012 , mungkin seperti 2 belanjawan terdahulu Najib , bergerak dan berkisar di dalam kerangka misi kerajaan pimpinan beliau iaitu Model Ekonomi Baru , Rancangan Malaysia ke-10 dan Wawasan 2020.




Bagi politikus di Malaysia , mereka menjangkakan Belanjawan 2012 adalah belanjawan terakhir Najib sebelum Pilihanraya Umum ke 13.

Satu perkara yang sangat menarik untuk diperhatikan adalah bagaimana kerajaan akan berbelanja untuk tahun 2012 kerana sehingga Mac 2011 , hutang negara sudah melebihi RM440 billion . Kerajaan sejak tahun 1998 membentangkan belanjawan defisit .

Peranan sektor swasta sebagai enjin utama pertumbuhan ekonomi mungkin masih agenda utama . Bajet 2012 mungkin sebagai dorongan kepada matlamat di dalam Rancangan malaysia ke -10 iaitu purata RM115 billion pelaburan swasta setahun .Pelbagai projek baru kearah merangsang pelaburan swasta dari dalam negara ( DDI) dijangka diperkenalkan sebagai usaha menghadapi kemuraman ekonomi dunia serta ketidaktentuan pasaran akibat krisis hutang yang masih mencengkam beberapa buah negara eropah serta kelembapan ekonomi di Amerika . Dalam memastikan ekonomi Malaysia kekal tumbuh dengan baik , Bajet 2012 mungkin mengambil kira situasi ini .




Sejak 27 Julai 2009 , Najib menawarkan 6 bidang keberhasilan negara yang dijadikan fokus utama kerajaan pimpinannya .Baru - baru ini Bidang Keberhasilan Utama Negara ke 7 diperkenalkan , iaitu "menangani kos sara hidup yang kian meningkat ". Industri pertanian termasuklah nelayan , penternak serta peladang dijangka mendapat manfaat yang banyak melalui belanjawan kali ini . Pemberian insentif subsidi termasuk bantuan kewangan akan memastikan harga barangan pertanian kekal rendah. Sistem kawalan harga serta pemberian subsidi bahan api , kesihatan serta pendidikan kepada rakyat dijangka diperkemas. Khidmat klinik 1 malaysia , kedai rakyat 1 malaysia serta program menu 1 malaysia dijangka diperluas ke seluruh pelusuk negara.




Dalam menghadapi situasi di mana kos sara hidup yang kian meningkat , golongan yang mudah terkesan iaitu golongan yang berpendapatan RM3000 ke bawah dijangka diberi pelbagai insentif .Saat ini , ramai yang menjangkakan kerajaan mungkin mengurangkan cukai pendapatan individu dalam persediaan untuk melaksanakan GST pada tahun - tahun mendatang .Jika ini berlaku , dijangka kerajaan akan menaikkan cukai-cukai lain yang bersifat penggunaan seperti rokok serta duti hiburan. Mungkinkah cukai tembakau dan minuman keras dinaikkan?Seperti belanjawan sebelum- sebelumnya kakitangan awam mengharapkan kenaikan gaji serta bonus tahunan .



Wednesday, May 18, 2011

Kecanduan Subsidi?






Seorang ahli politik berpendapat :


Untuk tahun 2011 kerajaan pimpinan Najib Razak mensasarkan defisit fiskal berada pada kadar 5.4 % ( RM45.5 billion ) , turun sedikit peratusannya berbanding 5.6 % ( RM43.3 biilion ) tahun 2010 , sebenarnya meningkat RM2.2 billion.

Biarpun jumlah defisit semakin meningkat , penurunan peratusan adalah disebabkan jangkaan peningkatan KDNK nominal.

Mengharapkan kerajaan mengurangkan perbelanjaan mungkin mustahil kerana komitmen terhadap Rancangan Malaysia ke - 10 dan segala macam agenda dalam Model Ekonomi Baru termasuklah Program transformasi Ekonomi serta Program transformasi Kerajaan .

Namun harapan terakhir warga adalah kerajaan mengamalkan dasar perbelanjaan berhemah yang meletakkan nilai untuk wang serta mengurangkan perbelanjaan yang tidak perlu dan memastikan dasar tiada ketirisan dalam menguruskan wang negara .

Menganggap pengurangan subsidi kepada rakyat adalah satu satunya jalan untuk mengurangkan peningkatan defisit menggambarkan kerajaan kekontangan idea.Manusia yang waras sememangnya sangat memahami bahawa subsidi adalah bantuan kewangan yang diberikan oleh kerajaan di dalam usaha bagi membantu meringankan kos sara hidup golongan yang kurang berkemampuan. Namun begitu , kelemahan sistem subsidi yang diguna pakai di Malaysia menyebabkan subsidi juga dinikmati oleh golongan berpendapatan tinggi serta warga asing yang bekerja di Malaysia.

Oleh itu , segeralah berfikir mencari mekanisme baru pemberian subsidi. Kerajaan tidak seharusnya melihat subsidi kepada rakyat sebagai bebanan yang seharusnya dimansuhkan .


Tuesday, October 12, 2010

Pelan Transformasi Ekonomi Malaysia



Takrifan Negara Berpendapatan Tinggi menurut Bank Dunia adalah negara dengan pendapatan perkapita sekurang-kurangnya USD$12,196.[rujuk di sini]

Malaysia di bawah kepimpinan Najib Razak bercita - cita menolak naik pendapatan perkapita rakyat dari nilai semasa sekitar USD$7 000 kepada USD$15 000 menjelang tahun 2020.

Jika kita meneliti matlamat 7 % pertumbuhan KDNK setahun di dalam cabaran Wawasan 2020 , pada kiraan semasa , menjelang 2020 , pendapatan perkapita warga Malaysia seharusnya sekitar USD$21 000 . Mungkin Malaysia boleh mengucapkan selamat tinggal kepada cabaran Wawasan 2020. Untuk itu Model Ekonomi Baru dijadikan sandaran .

Cabaran memenuhi matlamat Model Ekonomi Baru juga besar . Malaysia perlukan pertumbuhan KDNK sekurang - kurangnya 6 % setahun bagi tahun - tahun mendatang. Menurut MIER matlamat ini sukar dicapai . [ rujuk di sini ] .

Ini bukanlah kali pertama satu pelan transformasi ekonomi negara diusulkan.Kita pernah ada Agenda Ekonomi Malaysia karya Parti keADILan Rakyat, juga punya misi hampir serupa .

Pelan transformasi ekonomi untuk Malaysia , Biar apa pun namanya sama ada Agenda Ekonomi Malaysia atau Model Ekonomi Baru , ia bergerak di atas beberapa faktor .

1.Singapura , Hong Kong ,Korea Selatan dan Taiwan pada tahun 70-an dan awal 80-an adalah setanding Malaysia . Kini Malaysia jauh tertinggal.

2.Persaingan menarik pelabur kian sengit . Vietnam yang dahulunya tidak menarik , kini menerima jumlah pelaburan yang hampir sama dengan Malaysia iaitu sekitar USD$8 Billion pada tahun 2008.

3.Bagi mengekalkan matlamat menjadi negara berpendapatan tinggi , sesuatu harus dilakukan terhadap lebih 2 juta buruh asing yang kebanyakkan mereka terlibat di dalam sektor pembuatan , perladangan , pembantu rumah dan pembinaan . Kebergantungan terhadap buruh asing yang keterlaluan akan menyebabkan tangga gaji bagi pekerja kurang mahir warga tempatan akan kekal rendah.

Risiko terperangkap di dalam ekonomi berpendapatan sederhana akan menyebabkan negara hilang momentum untuk terus bersaing dengan negara - negara berpendapatan tinggi .Di bawah RMK-10(2011-2015) , 12 NKEA dikenalpasti untuk dimajukan dan diberi tumpuan.

Kita pernah ada pelbagai projek serta koridor oleh pemimpin terdahulu , namun ianya enak didengar tetapi tiada kesan mendalam terhadap kehidupan warga . Ketua Eksekutif PEMANDU , Idris Jala berkata RM1.4 Trillion pelaburan swasta diperlukan dalam tempoh sepuluh tahun mendatang jika Malaysia bercita- cita menjadi negara berpendapatan tinggi sedangkan sepuluh tahun kebelakangan ini Malaysia hanya mencatatkan pelaburan swasta sekitar RM500 billion sahaja.

Rakyat melihat cabaran Model Ekonomi Baru sangat besar terhadap segala dasar yang bakal digubal oleh kerajaan . Disebalik meraih semula sokongan rakyat terhadap parti politik pemerintah , kegagalan melaksanakan segala yang dijanjikan bakal menjadi mimpi ngeri buat kerajaan pimpinan Najib Razak.


Thursday, December 3, 2009

Model Ekonomi Baru





Memiliki KDNK perkapita nominal sekitar RM27,000(USD7,900) , Malaysia dikatakan terperangkap di dalam ekonomi berpendapatan sederhana .

Perdana Menteri Malaysia , Datuk Seri Najib Tun Razak semasa di Persidangan APEC 2009 November lalu di Singapura berkata beliau akan mengumumkan satu Model Ekonomi Baru bagi malaysia pada hujung tahun ini .

Model Ekonomi Baru ini dikatakan akan memberi fokus kepada peningkatan produktiviti bukan sahaja melibatkan sumbangan pekerja di dalam kerja lebih masa tetapi dari segi tambah nilai dalam inovasi dan kreativiti.

Kerajaan juga telah menubuhkan Majlis Penasihat Ekonomi Negara yang di pengerusikan oleh Tan Sri Amirsham Abdul Aziz.Fungsi Majlis ini adalah menasihati kerajaan di dalam membentuk model ekonomi baru yang berteraskan inovasi , kreativiti dan nilai tambah yang tinggi selaras dengan strategi untuk melonjakkan ekonomi negara daripada berpendapatan sederhana kepada ekonomi berpendapatan tinggi untuk menjadi negara maju menjelang tahun 2020.


Saturday, October 17, 2009

Ada Apa Dengan Bajet 2010 ?



Bajet 2010 yang bakal dibentangkan oleh Menteri Kewangan yang juga Perdana Menteri Malaysia , Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak pada 23 Oktober ini dijangka lebih kecil dari Bajet 2009 iaitu sekitar RM200 billion akibat kekangan defisit bajet Kerajaan Persekutuan yang telah meningkat kepada 7.6 % . Peningkatan ini di sebabkan pelaksanaan 2 Pakej Rangsangan ekonomi oleh kerajaan , masing - masing berjumlah RM7 billion dan RM60 billion.

Untuk rekod , Bajet 2009 berjumlah RM209.7 billion dengan unjuran defisit pada waktu itu adalah sekitar 3.6%.

Melalui Bajet yang bakal dibentangkan ini , Kerajaan dijangka akan meminimumkan kos dan perbelanjaan operasi selaras dengan jangkaan pengurangan di dalam hasil yang diperolehi . Mungkinkah akan ada cukai-cukai baru diperkenalkan umpamanya GST iaitu cukai barangan dan perkhidmatan?Dan mungkin juga tiada potongan cukai untuk individu serta korporat , atau mungkinkah akan ada pengurangan cukai pendapatan dan duti import dalam usaha menggalakkan permintaan domestik bagi membantu pasaran eksport yang masih lemah.

Apa yang menarik untuk dinilai oleh rakyat adalah komitmen Perdana Menteri , Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak yang komited merencana Model Ekonomi Baru , iaitu membawa keluar negara dari negara berpendapatan sederhana kepada negara berasaskan ekonomi berpendapatan tinggi . Mungkin sektor perkhidmatan akan diberi fokus di dalam bajet 2010 kerana Model Ekonomi Baru dijangka menjadi teras utama di dalam Rancangan Malaysia ke - 10 yang akan bermula pada tahun 2011.

Dalam usaha kerajaan untuk terus menarik pelabur langsung asing , mungkin akan ada dasar serta syarat yang lebih liberal akan diumumkan dalam bajet yang bakal dibentangkan nanti.

Keutamaan juga mungkin diberi dalam perbelanjaan membina infrastruktur dengan harapan terus memberi kesan berganda di dalam menyokong pertumbuhan ekonomi negara . Di dalam usaha bagi meningkatkan produktiviti tenaga kerja masa kini dan masa depan , institusi kemahiran , institusi pengajian tinggi dan juga sekolah mungkin menerima insentif daripada bajet 2010 ini .

Selaras dengan Bidang Keberhasilan Utama Nasional dalam mencapai matlamat petunjuk prestasi utama , bajet 2010 mungkin memberi peruntukkan kepada usaha mencegah jenayah , memerangi rasuah , meluaskan akses kepada pendidikan berkualiti dan mampu , meningkatkan taraf hidup rakyat berpendapatan rendah , membina prasarana di luar bandar serta pedalaman dan menambah baik sistem pengangkutan awam .

Bahang Bajet 2010 sudah mula terasa . Kesannya,harga rokok sudah pun dinaikkan mulai 5 Oktober lalu . Baru - baru ini , Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani , Datuk Seri Noh Omar memberitahu bahawa kerajaan akan memberi kupon 30 Kilogram beras percuma kepada 43,500 keluarga miskin tegar manakala 3 kupon subsidi beras setiap satu bernilai RM10 akan diberikan kepada 150,000 keluarga berpendapatan RM1500 sebulan yang tinggal di bandar dan keluarga yang berpendapatan RM1000 di luar bandar.

Secara umumnya , rata - rata warga Malaysia mengharapkan agar langkah -langkah yang diambil pihak kerajaan melalui bajet yang akan dibentangkan nanti , boleh meningkatkan lagi pendapatan boleh guna rakyat dan memberi lebih keselesaan sesuai dengan slogan kepimpinan Datuk Seri Najib "Rakyat Di Dahulukan , Pencapaian Di Utamakan".



Tuesday, June 30, 2009

Liberalisasi Untuk Model Ekonomi Baru!!


Dasar membuka pasaran(liberalisasi) bagi menarik lebih banyak pelaburan langsung asing (FDI) mungkin sebahagian dan permulaan bagi model ekonomi berasaskan pendapatan tinggi yang kali pertama dikatakan oleh Perdana Menteri pada sambutan Hari Pekerja,3 Mei 2009 yang lalu.Model ekonomi baru ini dijangka adalah intipati kepada kerangka bajet 2010 dan asas kepada polisi dan program di dalam Rancangan malaysia ke-10 (2011-2015)

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, yang juga Menteri Kewangan hari ini membuat beberapa pengumumam pada persidangan Invest Malaysia 2009, antaranya :


1.Pelabur asing kini boleh memiliki hartanah milik Bumiputera atau kerajaan di Malaysia dengan mudah tanpa perlu kelulusan Jawatankuasa Pelabur Asing (FIC). Transaksi ini hanya membabitkan hartanah bernilai RM20 juta dan ke bawah saja, manakala bagi RM20 juta ke atas kelulusan daripada FIC diperlukan. Penyahkawalseliaan garis panduan Jawatankuasa Pelaburan Asing (FIC) tidak membabitkan penjualan tanah Melayu.Penjualan tanah Melayu tidak di bawah FIC, oleh itu nyahkawal selia itu tidak terlibat. Jualan tanah terletak di bawah perkara negeri dan negeri mempunyai kuasa untuk memutuskan mengenai semua dasarnya.

2.Had pemilikan asing dalam syarikat broker saham sedia ada akan dinaikkan kepada 70% daripada 49% sekarang.

3. Sebuah institusi pelaburan dikenali Ekuiti Nasional Bhd (Ekuinas) akan ditubuhkan dengan modal awal RM500 juta. Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, berkata ia akan menumpukan pelaburannya dalam sektor ekonomi yang mempunyai potensi pertumbuhan tinggi sejajar Model Ekonomi Baru.

4. Bank Negara Malaysia (BNM) dan Suruhanjaya Sekuriti (SC) akan kaji semula semua permohonan visa bagi industri pasaran modal dan perkhidmatan kewangan tempatan bagi tujuan menggalakkan lagi kemasukan pakar asing dan mengekalkan pakar asing yang ketika ini berada di Malaysia.

5.Peraturan dalam garis panduan pelaburan Jawatankuasa Pelabur Asing (FIC) ditarik balik secara menyeluruh bagi menarik minat pelaburan asing di negara ini. Ia termasuk menguatkuasakan serta merta garis panduan FIC, misalnya menghapuskan dalam soal pengambilalihan ekuiti saham.





rujukan