.

Get cash from your website. Sign up as affiliate.
Showing posts with label OPR. Show all posts
Showing posts with label OPR. Show all posts

Thursday, July 8, 2010

Pernyataan Dasar Monetari BNM 8 Julai


Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) Bank Negara Malaysia memutuskan untuk menaikkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) sebanyak 25 mata asas kepada 2.75 peratus. Kadar terendah dan tertinggi koridor bagi OPR turut dinaikkan masing-masing kepada 2.50 peratus dan 3.00 peratus.

Ekonomi global terus mencatat pemulihan pada suku kedua, disokong oleh pertumbuhan yang teguh dan menyeluruh dalam kebanyakan ekonomi yang sedang pesat membangun, khususnya di Asia, dan pemulihan yang sederhana dalam ekonomi-ekonomi maju.

Walau bagaimanapun, ketidaktentuan dalam pasaran kewangan antarabangsa telah meningkat berikutan kebimbangan terhadap krisis hutang Kerajaan yang berterusan dalam beberapa ekonomi maju. Perkembangan ini telah meningkatkan ketidakpastian mengenai kesan yang mungkin timbul pada sistem kewangan antarabangsa dan aktiviti ekonomi global.

Melangkah ke hadapan, meskipun penilaian yang dibuat menunjukkan pemulihan global akan berterusan, namun, terdapat peningkatan risiko bahawa momentum pertumbuhan global mungkin menjadi sederhana.

Bagi ekonomi dalam negeri, trend terkini dalam pengeluaran perindustrian, kegiatan pembiayaan, keadaan pasaran pekerja dan perdagangan luar menunjukkan bahawa kegiatan ekonomi terus kukuh pada suku kedua.

Meskipun perkembangan di luar negeri mungkin menyebabkan kadar pertumbuhan menjadi sederhana sedikit, namun ekonomi dalam negeri dijangka kekal kukuh dengan penggunaan dan pelaburan swasta yang terus bertambah baik, serta disokong oleh perbelanjaan pelaburan awam.

Inflasi dalam negeri meningkat sedikit pada bulan April dan Mei disebabkan oleh faktor-faktor penawaran.

Paras harga dijangka meningkat secara beransur-ansur pada bulan-bulan hadapan, sejajar dengan keadaan ekonomi dalam negeri yang terus bertambah baik, serta mengambil kira pelarasan yang mungkin dibuat terhadap harga ditadbir.

Walau bagaimanapun, inflasi secara keseluruhan dijangka kekal sederhana hingga tahun 2011.

MPC berpendapat bahawa paras baharu OPR ini adalah wajar dan konsisten dengan penilaian terkini prospek pertumbuhan dan inflasi. Pendirian dasar monetari akan terus akomodatif dan menyokong pertumbuhan ekonomi negara.




Thursday, March 4, 2010

OPR Naik 25 Mata Asas



Jawatankuasa Dasar Monetari Bank Negara Malaysia menaikkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) sebanyak 25 mata asas kepada 2.25 %.

Pernyataan Dasar monetori [ di sini ]

Untuk itu BLR dan BFR juga dijangka meningkat .

OPR dijangka terus naik tahun ini [ di sini ]


Tuesday, February 24, 2009

Turun lagi : OPR 2% , SRR 1%


Bank Negara Malaysia dalam mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari(MPC) hari ini memutuskan untuk menurunkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) sebanyak 50 mata asas kepada 2%.Keperluan Rizab Berkanun(SRR) juga diturunkan daripada 2% kepada 1% berkuat kuasa 1 Mac 2009.


Kenyataan Bank Negara mengenai Dasar Monetarinya :

Persekitaran ekonomi dan kewangan antarabangsa menjadi bertambah buruk pada suku tahun baru-baru ini. Ekonomi negara perindustrian utama sedang mengalami kemelesetan ekonomi yang semakin teruk, manakala pertumbuhan ekonomi negara serantau pula menjadi perlahan dengan ketara. Aktiviti perdagangan, pengeluaran dan pelaburan di rantau Asia telah terjejas dengan ketara akibat kemerosotan mendadak permintaan global. Kemelut pasaran kewangan antarabangsa juga semakin berlarutan. Walaupun banyak negara telah melaksanakan langkah-langkah rangsangan untuk menangani kelembapan ekonomi, hasil yang diharapkan masih belum dicapai. Risiko terhadap prospek ekonomi global yang lebih rendah juga semakin meningkat.


Ekonomi Malaysia telah terjejas dengan ketara oleh perkembangan global ini. Eksport dan pengeluaran perindustrian negara telah menguncup dengan nyata, sementara aktiviti pelaburan swasta menjadi semakin perlahan dalam beberapa bulan kebelakangan ini apabila perusahaan perniagaan bertindak untuk mengurangkan perbelanjaan mereka. Sentimen pengguna turut terjejas oleh keadaan pasaran pekerja yang semakin lemah. Oleh itu, keadaan ekonomi dalam negeri dijangka terus mencabar dalam suku-suku yang akan datang atas sebab kemelesetan ekonomi global dijangka berlarutan. Sungguhpun perkembangan ini telah meningkatkan risiko kemerosotan ekonomi negara pada tahun ini, prospek pemulihan ekonomi kekal teguh apabila keadaan global menjadi stabil, memandangkan ekonomi negara tidak menanggung beban hutang yang tinggi, di samping mempunyai sistem kewangan yang kukuh dan kedudukan luaran yang memuaskan.


Dengan trend inflasi yang menurun, dasar makroekonomi akan dijuruskan ke arah menyokong permintaan dalam negeri sehingga ekonomi global menunjukkan tanda-tanda pemulihan. Langkah-langkah tambahan akan diperkenalkan oleh Bank Negara Malaysia bagi memastikan akses kepada pembiayaan akan berterusan dan kesan kelembapan ekonomi terhadap golongan tertentu yang terjejas akan dapat dikurangkan.

 

sumber : Bank Negara Malaysia

Thursday, January 22, 2009

OPR & SRR turun lagi


Bank Negara Malaysia menurunkan kadar faedah tempatan sebanyak 0.75 peratus dalam usaha merangsang pertumbuhan ekonomi negara. 

Jawatankuasa Dasar Monetari Bank Negara dalam mesyuaratnya hari ini memutuskan menurunkan Kadar Dasar Semalam (OPR) bank pusat itu kepada 2.5 peratus daripada 3.25 peratus. Keperluan Rizab Berkanun (SRR) bank juga dikurangkan daripada 3.5 peratus kepada 2 peratus berkuat kuasa 1 Februari ini.

Tuesday, November 25, 2008

OPR & SRR dikurangkan

Bank Negara Malaysia (BNM) hari ini menurunkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) sebanyak 25 mata asas kepada 3.25 peratus buat pertama kali sejak April 2006 daripada paras 3.50 peratus sebelumnya.

OPR adalah penanda aras yang digunakan bank di negara ini untuk menetapkan Kadar Pinjaman Asas (BLR) masing-masing dan penurunan itu bakal mengurangkan kadar faedah yang perlu dibayar peminjam.

BNM berkata: ''Penurunan ini turut dibuat selepas mengambil kira risiko pertumbuhan yang lebih rendah semakin nyata dan tekanan inflasi yang semakin berkurangan.''

Sambil menyatakan inflasi global telah mula menurun dan aliran itu akan berterusan, Bank Pusat berkata, perkembangan ini mendorong pihak berkuasa menyediakan sokongan kecairan secara besar-besaran kepada pasaran kewangan dan mengambil langkah penyelesaian sektor kewangan, rangsangan fiskal dan kelonggaran dasar monetari untuk menyokong pertumbuhan ekonomi.

Katanya, meskipun permintaan dalam negara kekal mapan, terdapat tanda-tanda aktiviti sektor swasta akan menjadi lebih rendah dalam keadaan pasaran pekerja yang tidak menggalakkan dan suasana perniagaan semakin mencabar.

Jawatankuasa Dasar Monetori Bank Negara juga mengurangkan Keperluan Rizab Berkanun (SRR) bank daripada empat peratus kepada 3.5 peratus berkuat kuasa 1 Disember ini. 

Langkah itu akan meningkatkan lagi kemampuan bank tempatan menyalurkan pinjaman kerana ia bakal mengurangkan jumlah dana (daripada peratusan jumlah depositnya) yang perlu disimpan oleh bank di negara ini di Bank Negara.





rujukan