.

Get cash from your website. Sign up as affiliate.
Showing posts with label bajet. Show all posts
Showing posts with label bajet. Show all posts

Wednesday, October 23, 2013

Bajet 2014 : Tugas Berat Najib.




Jumaat ini , satu lagi sessi pembentangan bajet oleh kerajaan Barisan Nasional bakal berlangsung . Bajet 2014 dilihat sebagai  medan bagi Parti Barisan Nasional menguji psikologi rakyat . Bajet secara amnya adalah pelan perbelanjaan , usaha mengimbangi wang yang dimiliki dengan wang yang akan dibelanjakan . Sejak 15 tahun berturut-turut , Barisan Nasional telah membentangkan bajet defisit  . Defisit bermakna berbelanja lebih dari pendapatan . Hutang negara yang kini berada sekitar RM546 billion tidak termasuk tanggungan luar jangka berjumlah RM147 billion menjadi halangan terbesar Najib dan barisan kabinetnya dalam merangka bajet .  

Berdasarkan situsi semasa , tidak banyak yang kita boleh harapkan . Najib dan kerajaan pimpinannya pasti cuba mengawal defisit bajet serta jumlah hutang dari terus mengembang . Mungkin peluang ini akan digunakan oleh Najib untuk meningkatkan pendapatan negara dengan menaikkan atau mengenakan cukai baru serta mengurangkan perbelanjaan kerajaan , termasuklah mengurangkan bantuan serta subsidi kepada rakyat yang diistilahkan sebagai rasionalisasi.

Satu perkara yang di nantikan dalam bajet 2014 ini   adalah jaminan kerajaan untuk hemah berbelanja dan rakyat pasti tidak lupa sejak tahun 2009 , kerajaan pimpinan Najib sering memohon belanjawan tambahan sebayak dua kali setahun . Beberapa siri Laporan Ketua Audit Negara juga menunjukkan banyak yang tidak kena dengan perbelanjaan kerajaan antaranya termasuklah pembaziran serta ketirisan.

Perkara besar dalam Bajet 2014 bukan "apa yang kita dapat?" tetapi ia adalah ruang untuk rakyat menyaksikan sendiri bagaimana kerajaan mematuhi bajet yang dibuat , mengurus kewangan secara berhemah serta menyelesaikan masalah ekonomi rakyat yang kian menghimpit . 




Tuesday, September 25, 2012

Menjelang Bajet 2013




Menjelang 28 September ini , pastinya tumpuan seluruh Warga Malaysia terarah kepada belanjawan yang bakal dibentang pemerintah . Halangan besar pemerintah adalah menguruskan hutang negara yang kini dikhabarkan berada sekitar RM450 bilion bersamaan dengan 53% daripada Kadar Dalam Negara Kasar .Sejak 15 tahun yang lalu , pemerintah membentangkan belanjawan defisit .Menteri Kewangan ke-2 , Ahmad Husni Hanadzlah baru-baru ini memberi gambaran bahawa rangka belanjawan 2013 akan meletakkan sasaran defisit lebih rendah berbanding 4.7% pada tahun 2012 . Dalam situasi begini , jangkaan , pemerintah akan lebih berhati-hati dalam pengagihan wang negara dan tidak sewenang-wenangnya melayan pelbagai tuntutan .


Bagi memenuhi janji untuk menjadikan masyarakat Malaysia berpendapatan tinggi menjelang tahun 2020 , Bajet pemerintah diandaikan dirangka bagi merangsang supaya pertumbuhan ekonomi negara berada sekitar 6% sesuai dengan matlamat Model Ekonomi Baru . Berdasarkan Laporan Ekonomi Suku ke-2 tahun 2012 yang dikeluarkan oleh Bank Negara , pertumbuhan ekonomi negara kini dipacu oleh permintaan domestik yang terus meningkat.Pemerintah dijangka akan berbelanja menerusi projek-projek pembangunan besar dan memberi galakan agar pengguna terus berbelanja bagi menggerakkan ekonomi . Untuk itu tidak mustahil dalam belanjawan 2013 bantuan kewangan kepada rakyat serta langkah-langkah meningkatkan pendapatan boleh belanja rakyat diberikan.


Belanjawan 2013 juga menarik untuk diamati . Kerajaan dijangka memberi respon terhadap usaha menambah pelaburan dengan memberi insentif cukai terhadap pelbagai sektor ekonomi terpilih di bawah NKEA yang dirasakan akan memberi impak terhadap GNI ke arah menjadi negara berpendapatan tinggi .Disebalik semua usaha pemerintah menarik pelaburan berimpak tinggi yang boleh memberi peluang pekerjaan kepada rakyat dengan gaji yang lumayan , tidak cukup rasanya jika institusi pendidikan tidak diperkasa. Dengan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025 yang baru dibentangkan pada 11 September yang lalu , kita boleh menjangkakan bidang pendidikan bakal menerima peruntukan besar dalam belanjawan kali ini.Melalui Pelan Pembangunan Pendidikan ini negara dikatakan berada dalam transisi negara berpendapatan tinggi dengan menyediakan warga muda Malaysia faham ekonomi baru iaitu pengetahuan , teknologi dan inovasi.

Melalui pembentangan belanjawan 2013 , Warga Malaysia pasti menunggu reaksi pemerintah terhadap harga rumah yang dikatakan terlalu tinggi dan tidak munasabah .  Golongan berpendapatan sederhana di bandar kini dikatakan miskin kerana harga barangan serta perkhidmatan kian mahal . Mungkin pemerintah akan memberi respon terhadap perkara ini.Pemerintah juga dijangka memperkasakan NKRA iaitu mengurangkan jenayah , memerangi rasuah , isu pendidikan , meningkatkan taraf hidup golongan berpendapatan rendah , meningkatkan prasarana di luar bandar serta menambah baik pengangkutan awam .



Friday, September 30, 2011

Jangkaan Bajet 2012




Belanjawan tahunan Malaysia untuk tahun 2012 dijangka akan dibentangkan oleh Menteri Kewangan yang juga Perdana Menteri Malaysia , Najib , pada 7 Oktober 2011 . Intipati Belanjawan 2012 , mungkin seperti 2 belanjawan terdahulu Najib , bergerak dan berkisar di dalam kerangka misi kerajaan pimpinan beliau iaitu Model Ekonomi Baru , Rancangan Malaysia ke-10 dan Wawasan 2020.




Bagi politikus di Malaysia , mereka menjangkakan Belanjawan 2012 adalah belanjawan terakhir Najib sebelum Pilihanraya Umum ke 13.

Satu perkara yang sangat menarik untuk diperhatikan adalah bagaimana kerajaan akan berbelanja untuk tahun 2012 kerana sehingga Mac 2011 , hutang negara sudah melebihi RM440 billion . Kerajaan sejak tahun 1998 membentangkan belanjawan defisit .

Peranan sektor swasta sebagai enjin utama pertumbuhan ekonomi mungkin masih agenda utama . Bajet 2012 mungkin sebagai dorongan kepada matlamat di dalam Rancangan malaysia ke -10 iaitu purata RM115 billion pelaburan swasta setahun .Pelbagai projek baru kearah merangsang pelaburan swasta dari dalam negara ( DDI) dijangka diperkenalkan sebagai usaha menghadapi kemuraman ekonomi dunia serta ketidaktentuan pasaran akibat krisis hutang yang masih mencengkam beberapa buah negara eropah serta kelembapan ekonomi di Amerika . Dalam memastikan ekonomi Malaysia kekal tumbuh dengan baik , Bajet 2012 mungkin mengambil kira situasi ini .




Sejak 27 Julai 2009 , Najib menawarkan 6 bidang keberhasilan negara yang dijadikan fokus utama kerajaan pimpinannya .Baru - baru ini Bidang Keberhasilan Utama Negara ke 7 diperkenalkan , iaitu "menangani kos sara hidup yang kian meningkat ". Industri pertanian termasuklah nelayan , penternak serta peladang dijangka mendapat manfaat yang banyak melalui belanjawan kali ini . Pemberian insentif subsidi termasuk bantuan kewangan akan memastikan harga barangan pertanian kekal rendah. Sistem kawalan harga serta pemberian subsidi bahan api , kesihatan serta pendidikan kepada rakyat dijangka diperkemas. Khidmat klinik 1 malaysia , kedai rakyat 1 malaysia serta program menu 1 malaysia dijangka diperluas ke seluruh pelusuk negara.




Dalam menghadapi situasi di mana kos sara hidup yang kian meningkat , golongan yang mudah terkesan iaitu golongan yang berpendapatan RM3000 ke bawah dijangka diberi pelbagai insentif .Saat ini , ramai yang menjangkakan kerajaan mungkin mengurangkan cukai pendapatan individu dalam persediaan untuk melaksanakan GST pada tahun - tahun mendatang .Jika ini berlaku , dijangka kerajaan akan menaikkan cukai-cukai lain yang bersifat penggunaan seperti rokok serta duti hiburan. Mungkinkah cukai tembakau dan minuman keras dinaikkan?Seperti belanjawan sebelum- sebelumnya kakitangan awam mengharapkan kenaikan gaji serta bonus tahunan .



Saturday, October 17, 2009

Ada Apa Dengan Bajet 2010 ?



Bajet 2010 yang bakal dibentangkan oleh Menteri Kewangan yang juga Perdana Menteri Malaysia , Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak pada 23 Oktober ini dijangka lebih kecil dari Bajet 2009 iaitu sekitar RM200 billion akibat kekangan defisit bajet Kerajaan Persekutuan yang telah meningkat kepada 7.6 % . Peningkatan ini di sebabkan pelaksanaan 2 Pakej Rangsangan ekonomi oleh kerajaan , masing - masing berjumlah RM7 billion dan RM60 billion.

Untuk rekod , Bajet 2009 berjumlah RM209.7 billion dengan unjuran defisit pada waktu itu adalah sekitar 3.6%.

Melalui Bajet yang bakal dibentangkan ini , Kerajaan dijangka akan meminimumkan kos dan perbelanjaan operasi selaras dengan jangkaan pengurangan di dalam hasil yang diperolehi . Mungkinkah akan ada cukai-cukai baru diperkenalkan umpamanya GST iaitu cukai barangan dan perkhidmatan?Dan mungkin juga tiada potongan cukai untuk individu serta korporat , atau mungkinkah akan ada pengurangan cukai pendapatan dan duti import dalam usaha menggalakkan permintaan domestik bagi membantu pasaran eksport yang masih lemah.

Apa yang menarik untuk dinilai oleh rakyat adalah komitmen Perdana Menteri , Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak yang komited merencana Model Ekonomi Baru , iaitu membawa keluar negara dari negara berpendapatan sederhana kepada negara berasaskan ekonomi berpendapatan tinggi . Mungkin sektor perkhidmatan akan diberi fokus di dalam bajet 2010 kerana Model Ekonomi Baru dijangka menjadi teras utama di dalam Rancangan Malaysia ke - 10 yang akan bermula pada tahun 2011.

Dalam usaha kerajaan untuk terus menarik pelabur langsung asing , mungkin akan ada dasar serta syarat yang lebih liberal akan diumumkan dalam bajet yang bakal dibentangkan nanti.

Keutamaan juga mungkin diberi dalam perbelanjaan membina infrastruktur dengan harapan terus memberi kesan berganda di dalam menyokong pertumbuhan ekonomi negara . Di dalam usaha bagi meningkatkan produktiviti tenaga kerja masa kini dan masa depan , institusi kemahiran , institusi pengajian tinggi dan juga sekolah mungkin menerima insentif daripada bajet 2010 ini .

Selaras dengan Bidang Keberhasilan Utama Nasional dalam mencapai matlamat petunjuk prestasi utama , bajet 2010 mungkin memberi peruntukkan kepada usaha mencegah jenayah , memerangi rasuah , meluaskan akses kepada pendidikan berkualiti dan mampu , meningkatkan taraf hidup rakyat berpendapatan rendah , membina prasarana di luar bandar serta pedalaman dan menambah baik sistem pengangkutan awam .

Bahang Bajet 2010 sudah mula terasa . Kesannya,harga rokok sudah pun dinaikkan mulai 5 Oktober lalu . Baru - baru ini , Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani , Datuk Seri Noh Omar memberitahu bahawa kerajaan akan memberi kupon 30 Kilogram beras percuma kepada 43,500 keluarga miskin tegar manakala 3 kupon subsidi beras setiap satu bernilai RM10 akan diberikan kepada 150,000 keluarga berpendapatan RM1500 sebulan yang tinggal di bandar dan keluarga yang berpendapatan RM1000 di luar bandar.

Secara umumnya , rata - rata warga Malaysia mengharapkan agar langkah -langkah yang diambil pihak kerajaan melalui bajet yang akan dibentangkan nanti , boleh meningkatkan lagi pendapatan boleh guna rakyat dan memberi lebih keselesaan sesuai dengan slogan kepimpinan Datuk Seri Najib "Rakyat Di Dahulukan , Pencapaian Di Utamakan".



rujukan