.

Get cash from your website. Sign up as affiliate.

Wednesday, January 21, 2009

Barack Obama Presiden Amerika ke-44



Barack Obama menempa sejarah apabila dilantik sebagai Presiden kulit hitam pertama Amerika Syarikat.

Obama, 47 tahun, yang bapanya berasal dari Kenya dan ibunya seorang kulit putih dari Kansas, mengangkat sumpah sebagai Presiden ke-44 Amerika di bangunan Capitol di sini.Ikrar yang dilafazkan ".. akan menjalankan tugas sebagai presiden dan sedaya upaya memelihara, melindungi dan mempertahan Perlembagaan Amerika Syarikat".

Sebelum itu,Obama dan isteri beliau Michelle, telah menemui Presiden George W. Bush, dan isterinya, Laura Bush, di Rumah Putih.

Dalam pilihan raya presiden pada November 2008, Obama, daripada Parti Demokrat, mengalahkan Senator John McCain daripada Parti Republikan.

Majlis mengangkat sumpah yang bermula sekitar 10 pagi waktu tempatan dihadiri hampir 2 juta rakyat Amerika, yang terpaksa berdiri berjam-jam dalam keadaan cuaca sejuk.Kawalan keselamatan ketat diberikan sepanjang acara ini dengan puluhan ribu polis dan askar mengawal semua lokasi sekitar Washington.

Sebelum ini, Jabatan Keselamatan Dalam Negara Amerika dan pihak berkuasa lain berkata mereka tidak melihat wujud ancaman serangan yang kukuh tetapi mereka bersedia menghadapi potensi malapetaka lebih luas, termasuk serangan senjata kimia dan cuaca sejuk keterlaluan.

Ia adalah majlis pengangkatan presiden baru pertama sejak serangan 11 September 2001, yang menimbulkan kebimbangan memuncak mengenai serangan dalam negara di kalangan rakyat Amerika.

Kos majlis mengangkat sumpah itu dilaporkan mencecah AS$150 juta  dan adalah yang tertinggi dalam sejarah negara itu.

Obama mengambil alih pentadbiran 8 tahun Bush.Selain masalah dasar luar Amerika, Obama akan mewarisi defisit belanjawan Amerika yang mencecahi USD1.2 triliun.


Obama sebelum ini berkata akan memberi dana tambahan bagi sektor perbankan dan automotif. Menurut Congressional Budget Office (CBO), dana ini adalah sebanyak USD775 billion untuk tempoh 2 tahun.CBO juga meramalkan defisit Amerika akan berkurangan hingga USD703 billion menjelang 2010

Obama kini membawa harapan dan impian generasi lama golongan kulit hitam di Amerika, yang sebelum ini menderita sebagai hamba abdi dan terpaksa menerima dasar pengasingan kaum yang menjadikan mereka rakyat kelas kedua.

Pelantikan Obama merupakan kemuncak dalam perjalanan politik seorang anggota Parti Demokrat yang  pandai berpidato.

Dalam tempoh kurang 5 tahun, Obama daripada seorang Senator di Illinois,kini seorang pemimpin negara kuasa dunia.

Dalam satu kenyataan sempena memperingati wira kulit hitam Dr Martin Luther King Jr kelmarin, Obama berkata,"Esok kita akan bersama sebagai satu bangsa di atas landasan sama yang menjadi impian Dr King. Kita mengiktiraf bahawa di Amerika matlamat kita sama.Kita membina keazaman bahawa jika kita berjalan, kita akan berjalan bersama dan ketika kita bergerak maju kita akan maju bersama.Kita akan memperbaharui janji kepada negara ini, marilah kita bersama mengingati apa yang diajar Dr King bahawa impian kita yang berbeza sebenarnya adalah satu".

No comments:

rujukan