Bajet 2010 yang bakal dibentangkan oleh Menteri Kewangan yang juga Perdana Menteri Malaysia , Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak pada 23 Oktober ini dijangka lebih kecil dari Bajet 2009 iaitu sekitar RM200 billion akibat kekangan defisit bajet Kerajaan Persekutuan yang telah meningkat kepada 7.6 % . Peningkatan ini di sebabkan pelaksanaan 2 Pakej Rangsangan ekonomi oleh kerajaan , masing - masing berjumlah RM7 billion dan RM60 billion.
Untuk rekod , Bajet 2009 berjumlah RM209.7 billion dengan unjuran defisit pada waktu itu adalah sekitar 3.6%.
Melalui Bajet yang bakal dibentangkan ini , Kerajaan dijangka akan meminimumkan kos dan perbelanjaan operasi selaras dengan jangkaan pengurangan di dalam hasil yang diperolehi . Mungkinkah akan ada cukai-cukai baru diperkenalkan umpamanya GST iaitu cukai barangan dan perkhidmatan?Dan mungkin juga tiada potongan cukai untuk individu serta korporat , atau mungkinkah akan ada pengurangan cukai pendapatan dan duti import dalam usaha menggalakkan permintaan domestik bagi membantu pasaran eksport yang masih lemah.
Apa yang menarik untuk dinilai oleh rakyat adalah komitmen Perdana Menteri , Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak yang komited merencana Model Ekonomi Baru , iaitu membawa keluar negara dari negara berpendapatan sederhana kepada negara berasaskan ekonomi berpendapatan tinggi . Mungkin sektor perkhidmatan akan diberi fokus di dalam bajet 2010 kerana Model Ekonomi Baru dijangka menjadi teras utama di dalam Rancangan Malaysia ke - 10 yang akan bermula pada tahun 2011.
Dalam usaha kerajaan untuk terus menarik pelabur langsung asing , mungkin akan ada dasar serta syarat yang lebih liberal akan diumumkan dalam bajet yang bakal dibentangkan nanti.
Keutamaan juga mungkin diberi dalam perbelanjaan membina infrastruktur dengan harapan terus memberi kesan berganda di dalam menyokong pertumbuhan ekonomi negara . Di dalam usaha bagi meningkatkan produktiviti tenaga kerja masa kini dan masa depan , institusi kemahiran , institusi pengajian tinggi dan juga sekolah mungkin menerima insentif daripada bajet 2010 ini .
Selaras dengan Bidang Keberhasilan Utama Nasional dalam mencapai matlamat petunjuk prestasi utama , bajet 2010 mungkin memberi peruntukkan kepada usaha mencegah jenayah , memerangi rasuah , meluaskan akses kepada pendidikan berkualiti dan mampu , meningkatkan taraf hidup rakyat berpendapatan rendah , membina prasarana di luar bandar serta pedalaman dan menambah baik sistem pengangkutan awam .
Bahang Bajet 2010 sudah mula terasa . Kesannya,harga rokok sudah pun dinaikkan mulai 5 Oktober lalu . Baru - baru ini , Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani , Datuk Seri Noh Omar memberitahu bahawa kerajaan akan memberi kupon 30 Kilogram beras percuma kepada 43,500 keluarga miskin tegar manakala 3 kupon subsidi beras setiap satu bernilai RM10 akan diberikan kepada 150,000 keluarga berpendapatan RM1500 sebulan yang tinggal di bandar dan keluarga yang berpendapatan RM1000 di luar bandar.
Secara umumnya , rata - rata warga Malaysia mengharapkan agar langkah -langkah yang diambil pihak kerajaan melalui bajet yang akan dibentangkan nanti , boleh meningkatkan lagi pendapatan boleh guna rakyat dan memberi lebih keselesaan sesuai dengan slogan kepimpinan Datuk Seri Najib "Rakyat Di Dahulukan , Pencapaian Di Utamakan".