Friday, August 1, 2008
Kadar Faedah Kekal
Bank Negara Malaysia pada 25 Julai 2008 membuat keputusan mengekalkan kadar faedah,berlawanan dengan jangkaan ia akan dinaikkan berikutan kenaikan mendadak kadar inflasi yang mencecah 7.7 % bulan lalu.
Jawatankuasa Dasar Monetari bank pusat itu dalam mesyuaratnya mengekalkan "Overnight Policy Rate" (OPR) pada paras 3.5 % dikatakan bagi mengelak daripada berlakunya gangguan terhadap asas ekonomi negara.
"Dalam tempoh 12 bulan akan datang, meskipun risiko inflasi yang lebih tinggi dan risiko pertumbuhan lebih rendah akan meningkat, perhatian segera harus diberikan untuk mengelakkan kelembapan ekonomi yang akan mengakibatkan pengangguran yang lebih tinggi.
"Pertumbuhan yang perlahan dengan sendirinya akan membendung kemungkinan berlakunya kesan kenaikan harga pusingan kedua terhadap inflasi dan seterusnya membendung kenaikan harga pada separuh kedua 2009," kata Bank Negara dalam kenyataan di Kuala Lumpur.
Bank Negara menjelaskan, ekonomi Malaysia telah menunjukkan prestasi menggalakkan pada separuh pertama tahun ini, tetapi dalam tempoh 12 bulan akan datang, ia dijangka berdepan tempoh lebih mencabar kerana risiko inflasi lebih tinggi dan pertumbuhan lebih perlahan meningkat dengan lebih ketara.Penilaian menunjukkan pertumbuhan global akan menjadi lebih perlahan dengan kelembapan lebih nyata dan berpanjangan di beberapa negara maju, dan pertumbuhan lebih sederhana di negara sedang pesat membangun.Pada masa sama,harga komoditi dan tenaga dijangka kekal pada paras yang tinggi, lantas meningkatkan inflasi dalam ekonomi global.
Berdasarkan senario itu, Bank Negara menjangkakan inflasi akan kekal pada paras yang tinggi pada separuh kedua tahun ini dan awal tahun depan sebelum menyederhana menjelang pertengahan 2009.
Bank Negara turut mengunjurkan purata inflasi bagi tahun 2008 akan berada dalam lingkungan 5.5 peratus hingga 6.0 peratus dan menegaskan bahawa dengan kekuatan asas sedia ada, serta sektor perbankan yang berdaya tahan, ekonomi Malaysia berpotensi kembali mencatatkan pertumbuhan kukuh dalam jangka sederhana.
Sumber: Berita Harian Online
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment