.

Get cash from your website. Sign up as affiliate.

Saturday, December 19, 2009

GST = Golongan Susah Tertindas ?





Rang Undang-Undang berkaitan dengan GST telah pun dibentangkan untuk bacaan kali pertama di Dewan Rakyat pada 16 Disember yang lalu.Ia adalah Rang Undang-Undang bagi menggantikan cukai jualan dan cukai perkhidmatan yang pada masa ini dikenakan dan dipungut di bawah Akta Cukai Jualan 1972 dan Akta Cukai Perkhidmatan 1975.

Pada masa kini , tarif Cukai Jualan adalah pada kadar 5 peratus - 25 peratus manakala tarif Cukai Perkhidmatan pula adalah pada kadar 5 peratus.[ rujuk di sini ] Cukai jualan dikenakan ke atas barangan ketika diimport atau di peringkat perkilangan. Cukai perkhidmatan pula dikenakan ke atas perkhidmatan terpilih , antaranya hotel dan restoran.

Kerajaan dikatakan bercadang melaksanakan GST pada kadar 4 peratus. [ rujuk di sini ]

GST adalah akronim bagi Goods and Services Tax iaitu satu sistem percukaian di mana apa sahaja barang dan perkhidmatan yang digunakan dan dibayar oleh pengguna terkandung elemen cukai di dalamnya. Untuk itu GST juga dikenali sebagai cukai kepenggunaan ataupun consumption tax.

Dengan mengandaikan GST 4 peratus , perjalanan percukaian GST daripada pengilang kepada pengguna adalah seperti berikut :

Pengilang A menjual produknya kepada pemborong B pada harga RM104 ( termasuk GST RM4 ) . Pemborong B pula menjual produk tersebut kepada peruncit C pada harga RM 108.16 ( termasuk GST RM4.16 ).Manakala peruncit C menjual pula barangan tersebut kepada pengguna D pada harga RM 112.49 ( termasuk GST RM4.33 ) .

Sebenarnya , Pengilang A menjual produknya pada harga RM 100 ditambah dengan GST RM 4 ( 4 peratus ) . GST RM 4 itu akan diserahkan oleh pengilang A kepada Pihak Berkuasa Percukaian. Pemborong B yang membeli produk tersebut dari pengilang A tadi telah pun dikenakan GST sebanyak RM 4 dan menjual pula produk tersebut kepada Peruncit C dengan mengenakan GST sebanyak RM 4.16 . Bagi jual beli ini , Pemborong B perlu menyerahkan RM 0.16 kepada Pihak Berkuasa Percukaian ( RM4.16 ditolak dengan RM 4 ) . Peruncit C yang dikenakan GST RM 4.16 kerana membeli produk tersebut dari pemborong B kemudiannya menjual produk tersebut kepada pengguna D dengan mengenakan GST RM4.33 . Setelah ditolak kredit cukai ( RM4.33 ditolak dengan RM 4.16 ) , Peruncit C perlu menyerahkan RM0.17 kepada Pihar Berkuasa cukai .

Jadi jumlah GST yang diserahkan kepada Pihak Berkuasa Percukaian oleh Pengilang A ( RM4 ) , Pemborong B ( RM0.16 ) dan Peruncit C ( RM0.17 ) berjumlah RM4.33 bersamaan dengan jumlah GST yang dibayar oleh pengguna D.

Oleh kerana GST adalah sistem percukaian pelbagai tahap , GST akan membantu kerajaan menyekat pengelakan cukai dengan lebih cekap. Apabila wujudnya transaksi jual beli GST akan diguna pakai .

Pada masa kini , sekitar 10 % sahaja warga Malaysia membayar cukai . Apa yang menjadi kebimbangan warga marhain adalah mereka yang dahulunya tidak layak membayar cukai kini terpaksa membayar cukai akibat dari pengenalan GST ini .Mungkinkah waktu yang paling tepat untuk memperkenalkan GST adalah apabila kebanyakkan warga Malaysia adalah pembayar cukai ?

Menteri Kewangan kedua , Ahmad Husni Hanadzlah semasa membentang rang undang - undang mengenai GST berkata GST akan dikecualikan bagi produk pertanian termasuk padi , sayur - sayuran , beras , gula , tepung , minyak masak , ikan , daging dan ayam .

Pengecualian juga diberikan kepada syarikat yang berpendapatan kurang daripada RM500,000 . 70 % perusahaan kecil dan sederhana juga tidak dilibatkan dengan GST.

Perkhidmatan kesihatan dan pendidikan juga wajar bebas GST.

Bagi pembayar cukai individu , golongan ini pada hemat saya ,benar - benar berharap agar pengenalan GST diselaraskan dengan penurunan cukai pendapatan agar GST tidak menjadi beban berganda kepada mereka .

Halangan paling besar kerajaan dalam memperkenalkan GST adalah persepsi negatif terhadap cukai . Tiada individu yang yang gembira jika terpaksa membayar lebih.Kerajaan perlu juga memastikan tidak wujud sebarang manipulasi daripada pihak pengilang sehingga produk tiba kepada pengguna.

Jika benarlah GST akan meningkatkan hasil kerajaan sebanyak RM 1 Billion setelah setahun diperkenalkan [ rujuk di sini ] , diharapkan ia akan benar - benar bermanfaat kepada warga marhain keseluruhannya .Kerajaaan seharusnya beramanah mengurangkan pembaziran dan ketidak telusan dalam perbelanjaan.

Thursday, December 3, 2009

Model Ekonomi Baru





Memiliki KDNK perkapita nominal sekitar RM27,000(USD7,900) , Malaysia dikatakan terperangkap di dalam ekonomi berpendapatan sederhana .

Perdana Menteri Malaysia , Datuk Seri Najib Tun Razak semasa di Persidangan APEC 2009 November lalu di Singapura berkata beliau akan mengumumkan satu Model Ekonomi Baru bagi malaysia pada hujung tahun ini .

Model Ekonomi Baru ini dikatakan akan memberi fokus kepada peningkatan produktiviti bukan sahaja melibatkan sumbangan pekerja di dalam kerja lebih masa tetapi dari segi tambah nilai dalam inovasi dan kreativiti.

Kerajaan juga telah menubuhkan Majlis Penasihat Ekonomi Negara yang di pengerusikan oleh Tan Sri Amirsham Abdul Aziz.Fungsi Majlis ini adalah menasihati kerajaan di dalam membentuk model ekonomi baru yang berteraskan inovasi , kreativiti dan nilai tambah yang tinggi selaras dengan strategi untuk melonjakkan ekonomi negara daripada berpendapatan sederhana kepada ekonomi berpendapatan tinggi untuk menjadi negara maju menjelang tahun 2020.


Saturday, November 21, 2009

KDNK suku ketiga dan IHP Oktober 2009








Ekonomi Malaysia mencatatkan peningkatan pada suku ketiga dengan berada pada negatif 1.2 % untuk suku ketiga 2009 berbanding negatif 3.9 % pada suku kedua disebabkan oleh pengembangan positif permintaan dalam negeri dan permintaan luar yang semakin stabil.

Laporan Penuh rujuk di sini








Indeks Harga Pengguna (IHP) bagi tempoh Januari hingga Oktober 2009 meningkat sebanyak 0.6% berbanding tempoh yang sama tahun lepas .Berbanding dengan bulan Oktober tahun 2008, IHP bulan Oktober 2009 turun sebanyak 1.6 % .Berbanding dengan bulan September 2009 , IHP naik sebanyak 0.1 %.

Laporan penuh rujuk di sini




Saturday, October 17, 2009

Ada Apa Dengan Bajet 2010 ?



Bajet 2010 yang bakal dibentangkan oleh Menteri Kewangan yang juga Perdana Menteri Malaysia , Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak pada 23 Oktober ini dijangka lebih kecil dari Bajet 2009 iaitu sekitar RM200 billion akibat kekangan defisit bajet Kerajaan Persekutuan yang telah meningkat kepada 7.6 % . Peningkatan ini di sebabkan pelaksanaan 2 Pakej Rangsangan ekonomi oleh kerajaan , masing - masing berjumlah RM7 billion dan RM60 billion.

Untuk rekod , Bajet 2009 berjumlah RM209.7 billion dengan unjuran defisit pada waktu itu adalah sekitar 3.6%.

Melalui Bajet yang bakal dibentangkan ini , Kerajaan dijangka akan meminimumkan kos dan perbelanjaan operasi selaras dengan jangkaan pengurangan di dalam hasil yang diperolehi . Mungkinkah akan ada cukai-cukai baru diperkenalkan umpamanya GST iaitu cukai barangan dan perkhidmatan?Dan mungkin juga tiada potongan cukai untuk individu serta korporat , atau mungkinkah akan ada pengurangan cukai pendapatan dan duti import dalam usaha menggalakkan permintaan domestik bagi membantu pasaran eksport yang masih lemah.

Apa yang menarik untuk dinilai oleh rakyat adalah komitmen Perdana Menteri , Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak yang komited merencana Model Ekonomi Baru , iaitu membawa keluar negara dari negara berpendapatan sederhana kepada negara berasaskan ekonomi berpendapatan tinggi . Mungkin sektor perkhidmatan akan diberi fokus di dalam bajet 2010 kerana Model Ekonomi Baru dijangka menjadi teras utama di dalam Rancangan Malaysia ke - 10 yang akan bermula pada tahun 2011.

Dalam usaha kerajaan untuk terus menarik pelabur langsung asing , mungkin akan ada dasar serta syarat yang lebih liberal akan diumumkan dalam bajet yang bakal dibentangkan nanti.

Keutamaan juga mungkin diberi dalam perbelanjaan membina infrastruktur dengan harapan terus memberi kesan berganda di dalam menyokong pertumbuhan ekonomi negara . Di dalam usaha bagi meningkatkan produktiviti tenaga kerja masa kini dan masa depan , institusi kemahiran , institusi pengajian tinggi dan juga sekolah mungkin menerima insentif daripada bajet 2010 ini .

Selaras dengan Bidang Keberhasilan Utama Nasional dalam mencapai matlamat petunjuk prestasi utama , bajet 2010 mungkin memberi peruntukkan kepada usaha mencegah jenayah , memerangi rasuah , meluaskan akses kepada pendidikan berkualiti dan mampu , meningkatkan taraf hidup rakyat berpendapatan rendah , membina prasarana di luar bandar serta pedalaman dan menambah baik sistem pengangkutan awam .

Bahang Bajet 2010 sudah mula terasa . Kesannya,harga rokok sudah pun dinaikkan mulai 5 Oktober lalu . Baru - baru ini , Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani , Datuk Seri Noh Omar memberitahu bahawa kerajaan akan memberi kupon 30 Kilogram beras percuma kepada 43,500 keluarga miskin tegar manakala 3 kupon subsidi beras setiap satu bernilai RM10 akan diberikan kepada 150,000 keluarga berpendapatan RM1500 sebulan yang tinggal di bandar dan keluarga yang berpendapatan RM1000 di luar bandar.

Secara umumnya , rata - rata warga Malaysia mengharapkan agar langkah -langkah yang diambil pihak kerajaan melalui bajet yang akan dibentangkan nanti , boleh meningkatkan lagi pendapatan boleh guna rakyat dan memberi lebih keselesaan sesuai dengan slogan kepimpinan Datuk Seri Najib "Rakyat Di Dahulukan , Pencapaian Di Utamakan".



Friday, September 25, 2009

Ekonomi Malaysia mula pulih


Unjuran pertumbuhan ekonomi Malaysia terbaru yang dikeluarkan oleh Bank Pembangunan Asia untuk tahun 2009 adalah negatif 3.1 daripada unjuran sebelumnya iaitu negatif 0.2.Ini adalah disebabkan oleh kesan kelembapan ekonomi dunia dan kelemahan harga komoditi.

Pertumbuhan negatif 6.2 yang direkodkan bagi suku pertama 2009 dijangka paling rendah untuk tahun ini.Tanda-tanda pemulihan sudah dapat dilihat berdasarkan Indeks Rasmi yang menunjukkan peningkatan pada bulan Jun.Pertumbuhan dijangka meningkat secara berperingkat disokong oleh pengukuhan pasaran pekerjaan dan inflasi yang rendah.

Kini sektor luaran dilihat sebagai rintangan utama kepada pertumbuhan KDNK Malaysia.Sentimen perniagaan juga dijangka berada di dalam zon negatif biar pun ia semakin pulih.

Sementara itu Gabenor Bank Negara , Tan Sri Zeti Akhtar Aziz begitu optimis pertumbuhan ekonomi Malaysia akan kembali positif pada suku keempat tahun ini berdasarkan peningkatan di dalam permintaan domestik.

Beliau tidak menafikan sektor luaran tetap menjadi penyumbang utama kepada pertumbuhan ekonomi Malaysia.



Friday, September 18, 2009

Salam Aidilfitri



Salam Aidilfitri kepada semua kawan-kawan serta pengunjung blog ini . Salam Aidilfitri teristimewa buat keluarga di Pulau Pinang dan Perak . Tak lupa buat isteri tersayang dan anak-anak yang telah pun tiba di kampung.

Maaf zahir dan batin.




Sunday, August 9, 2009

Amanah Saham 1Malaysia



Amanah Saham 1Malaysia ialah dana berharga tetap dengan saiz 10 bilion unit yang ditawarkan pada harga RM1 seunit.Daripada saiz 10 billion ini , 50% adalah untuk Bumiputera,30% Cina , 15% India dan 5% lagi untuk lain-lain .Sepanjang tempoh tawaran(5 Ogos sehingga 3 September 2009) had langganan sebanyak 50,000 unit untuk mereka yang berumur di bawah 55 tahun dan 100,000 unit untuk mereka yang berumur lebih 55 tahun.

Harga jual dan beli bagi Amanah Saham 1Malaysia adalah tetap pada harga RM1 seunit. Oleh itu, pelabur boleh membeli atau menjual semula unit berkenaan pada RM1 seunit pada setiap masa. Jualan balik bagaimanapun, hanya boleh dilakukan selepas tamat tempoh tawaran selama 30 hari.

Amanah Saham 1Malaysia tidak disebut sebagai 'dana modal terjamin' kerana berdasarkan kepada definisi Panduan Unit Amanah, 'dana modal terjamin' akan menjamin modal yang dilaburkan hanya apabila unit yang dibeli pelabur dipegang hingga tempoh matang. Dana harga tetap pula tidak mempunyai tempoh matang, dan berikutan itu, unitnya ditetapkan pada RM1 seunit pada setiap masa.

Amanah Saham 1Malaysia tidak akan mengenakan sebarang bayaran jualan atau belian .Amanah Saham 1Malaysia menggunakan purata pulangan 5-tahun Sekuriti Kerajaan Malaysia sebagai penanda aras yang kini memberikan pulangan sekitar 3.72%.



Tuesday, August 4, 2009

Titan Chemicals : Shares Buy Back



Titan Chemicals membeli balik sahamnya sendiri.Rujuk disini




Graf : Pergerakan harga saham Titan Chemicals dalam tempoh 1 tahun terkini


Friday, July 31, 2009

Adakah jaminan semua rakyat mendapat akses kepada makanan asasi ?



Bernas ditubuhkan pada tahun 1994 setelah Lembaga Padi dan Beras Negara dikorporatkan.Bernas disenaraikan di Bursa Malaysia pada 1997 .Namun, satu kerugian apabila syarikat yang mewakili kepentingan strategik negara seperti Bernas dibiarkan bergerak di atas landasan keuntungan kepada pemegang saham sebagai agenda utama.

Berikut senarai penguasaan ekuiti di dalam Bernas berdasarkan pengumuman urus niaga pemegang saham utama Bernas di Bursa Malaysia Isnin lalu :

Wang Tak Co.Ltd(Hong Kong) - 31.36% (147.51 juta saham )

Budaya Generasi (Malaysia)Sdn.Bhd - 30.79%

Lembaga Tabung Haji - 6.11%

Serba Etika Sdn Bhd - 6.02 %


Wang Tak Co.Ltd dilaporkan hanya memiliki pegangan saham sebanyak 3%-4% pada tahun 2003, membeli saham di pasaran terbuka secara berperingkat dan kini menjadi pemegang saham tunggal terbesar di dalam Bernas.

Sementara itu seperti di dalam laporan Berita Harian Felo Kanan Fakulti Ekonomi dan Pengurusan, Universiti Kebangsaan Malaysia yang juga bekas Presiden Bursa Saham Kuala Lumpur, Datuk Muhammad Salleh Majid berpendapat pemegang saham utama tempatan dalam Bernas seharusnya tidak menjual saham di pasaran terbuka. Adalah lebih baik ia dilaksanakan di luar pasaran, iaitu menerusi rundingan jual beli dengan pelabur tempatan.

Menurut Datuk Muhammad Salleh Majid lagi jika mana-mana pemegang saham tunggal syarikat itu meningkatkan pegangan melebihi 33%, maka ia boleh membuat tawaran am mandatori (MGO) untuk membeli keseluruhan pegangan dalam syarikat berkenaan.

Jika Bernas dimiliki oleh warga asing , adakah jaminan semua warga Malaysia mendapat akses kepada makanan asasi ?



Saturday, July 25, 2009

Nasionalisasi tol



Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop berkata, kajian mendalam ke atas isu tol masih lagi berjalan.

Unit Perancang Ekonomi (EPU) di Jabatan Perdana Menteri akan mengemukakan satu cadangan menyeluruh bagi menyelesaikan isu mengenai tol, termasuk menasionalisasikan pengendali tol kepada kerajaan tidak lama lagi.utusan online



Menasionalisasikan pengendali tol.Bagaimana proses ini agaknya.?Adakah kerajaan akan membeli saham yang tidak dimilikinya sekitar 1.3 billion saham di dalam Plus Expressway dan menjadikan PLUS sebagai aset awam ??Harga seunit saham Plus Expressway adalah RM3.30.

Kerajaan melalui Khazanah Nasional Bhd dan KWSP memiliki sekitar 74 % ekuiti di dalam Projek Lebuhraya Utara Selatan (PLUS).



Sunday, July 12, 2009

100 HARI , 11 HADIAH , 1 MALAYSIA





Semalam Perdana menteri , Datuk Seri Najib Razak dalam majlis sambutan "100 Hari Najib Bersama Rakyat"di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur mengumumkan 11 perkara . Rujuk di sini utuk laporan penuh<Najib Buat 11 Pengumuman Mesra Rakyat Sempena 100 Hari Jadi PM>

Antara yang "menarik" adalah penubuhan satu tabung unit amanah baru iaitu Amanah Saham 1Malaysia dengan saiz sehingga 10 bilion unit.Saham amanah ini akan diuruskan oleh PNB.

Untuk rekod ketika ini ada lebih 6 bilion unit pelbagai dana yang belum terjual di bawah amanah saham Permodalan Nasional Bhd (PNB) dan masih ada untuk dibeli oleh pelabur Bumiputera dan bukan Bumiputera.Antara dana yang masih ada untuk pelabur Bumiputera termasuk Amanah Saham Wawasan (1.7 bilion), Amanah Saham Didik (1.6 bilion), Amanah Saham Nasional (921 million), Amanah Saham Nasional 2 (2.2 bilion) dan Amanah Saham Malaysia (3.3 bilion).Pelabur bukan Bumiputera juga masih mempunyai peluang untuk melabur dalam Amanah Saham Nasional 3 dan Amanah Saham Gemilang.

Satu perkara lagi yang diumumkan Perdana Menteri ialah pengguna lebuh raya yang menggunakan kad prabayar Smart Tag dan Touch 'n Go layak menerima diskaun 20% dengan syarat membayar tol 80 kali atau lebih sebulan.




Tuesday, June 30, 2009

Liberalisasi Untuk Model Ekonomi Baru!!


Dasar membuka pasaran(liberalisasi) bagi menarik lebih banyak pelaburan langsung asing (FDI) mungkin sebahagian dan permulaan bagi model ekonomi berasaskan pendapatan tinggi yang kali pertama dikatakan oleh Perdana Menteri pada sambutan Hari Pekerja,3 Mei 2009 yang lalu.Model ekonomi baru ini dijangka adalah intipati kepada kerangka bajet 2010 dan asas kepada polisi dan program di dalam Rancangan malaysia ke-10 (2011-2015)

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, yang juga Menteri Kewangan hari ini membuat beberapa pengumumam pada persidangan Invest Malaysia 2009, antaranya :


1.Pelabur asing kini boleh memiliki hartanah milik Bumiputera atau kerajaan di Malaysia dengan mudah tanpa perlu kelulusan Jawatankuasa Pelabur Asing (FIC). Transaksi ini hanya membabitkan hartanah bernilai RM20 juta dan ke bawah saja, manakala bagi RM20 juta ke atas kelulusan daripada FIC diperlukan. Penyahkawalseliaan garis panduan Jawatankuasa Pelaburan Asing (FIC) tidak membabitkan penjualan tanah Melayu.Penjualan tanah Melayu tidak di bawah FIC, oleh itu nyahkawal selia itu tidak terlibat. Jualan tanah terletak di bawah perkara negeri dan negeri mempunyai kuasa untuk memutuskan mengenai semua dasarnya.

2.Had pemilikan asing dalam syarikat broker saham sedia ada akan dinaikkan kepada 70% daripada 49% sekarang.

3. Sebuah institusi pelaburan dikenali Ekuiti Nasional Bhd (Ekuinas) akan ditubuhkan dengan modal awal RM500 juta. Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, berkata ia akan menumpukan pelaburannya dalam sektor ekonomi yang mempunyai potensi pertumbuhan tinggi sejajar Model Ekonomi Baru.

4. Bank Negara Malaysia (BNM) dan Suruhanjaya Sekuriti (SC) akan kaji semula semua permohonan visa bagi industri pasaran modal dan perkhidmatan kewangan tempatan bagi tujuan menggalakkan lagi kemasukan pakar asing dan mengekalkan pakar asing yang ketika ini berada di Malaysia.

5.Peraturan dalam garis panduan pelaburan Jawatankuasa Pelabur Asing (FIC) ditarik balik secara menyeluruh bagi menarik minat pelaburan asing di negara ini. Ia termasuk menguatkuasakan serta merta garis panduan FIC, misalnya menghapuskan dalam soal pengambilalihan ekuiti saham.





Sunday, June 21, 2009

Emas


Kertas dicetak menjadi wang.Kertas ini juga dikenali sebagai Wang Fiat. Ia adalah satu nota jaminan bahawa kertas ini memang mempunyai nilai jika nilainya dituntut.

Kelemahan terbesar kertas yang dicetak ini atau wang fiat adalah kehilangan nilai akibat inflasi.Inflasi akan menyebabkan sesuatu barangan atau perkhidmatan menjadi mahal.Secara mudahnya , harga gula sekilo tidak mampu kekal pada harga sekarang untuk masa-masa akan datang.Harganya akan meningkat selagi mana wang fiat digunakan.Begitu juga barangan lain.Wang fiat baru dicipta setiap kali bank memberi hutang kepada pelanggannya berasaskan wang yang didepositkan ke bank tersebut.Sistem Fractional Reserve Banking atau di Malaysia ia dikenali sebagai Statutory Reserve Requirement ( Keperluan Rizab Berkanun ) menggandakan wang atau mencipta wang baru.

Apabila semakin banyak wang dicipta , nilainya akan turun .Semua barangan atau perkhidmatan bertambah mahal kerana wang di dalam pasaran semakin banyak dari hari ke hari.Oleh kerana itu , ada yang mula melindungi nilai sebenar kekayaan mereka . Emas dilihat sebagai komodi yang stabil dan melambangkan kekayaan.



Carta menunjukkan harga emas (dalam US Dollar ) 1 aun (31.1035 gram) dalam tempoh 5 tahun kebelakang

Harga emas meningkat lebih kurang 125% dalam tempoh 5 tahun iaitu purata 25% setahun




Carta menunjukkan harga emas (dalam US Dollar ) 1 aun (31.1035 gram) dalam tempoh 10
tahun kebelakang

Harga emas meningkat lebih kurang 200% dalam tempoh 10 tahun iaitu purata 20% setahun



Carta menunjukkan harga emas (dalam US Dollar ) 1 aun (31.1035 gram) dalam tempoh 1
tahun kebelakang

Daripada sejarah harga emas yang ditunjukkan di dalam carta di atas bolehlah diandaikan bahawa emas adalah satu alternatif simpanan ataupun pelaburan untuk jangkamasa sederhana dan panjang.

Bagaimana menukarkan wang anda kepada emas ???Beberapa produk emas disenaraikan di bawah ini :











Tuesday, June 2, 2009

Kerajaan Amerika Ambil Alih General Motor





Syarikat automotif terbesar Amerika Syarikat, General Motors (GM), semalam mengisytiharkan muflis.GM memiliki hutang berjumlah AS$172.81 bilion manakala asetnya hanya bernilai AS$82.29 bilion. Pengumuman muflis GM itu dibuat 32 hari selepas Chrysler, yang dijangka akan keluar daripada perlindungan muflis pada minggu ini selepas sebulan berada dalam perlindunganSyarikat automotif ketiga terbesar Amerika Syarikat, Ford Motor Co, juga berdepan masalah penurunan ketara jualan, namun masih mampu mengelak muflis dengan menggadai semua asetnya pada tahun 2006 untuk meminjam kira-kira AS$25 bilion. 

GM yang ditubuhkan pada 1908, menjadi pengeluar kenderaan terbesar dunia dari 1931 hingga 2008, sebelum tempat itu diambil alih oleh Toyota dari Jepun.

Syarikat yang berpangkalan di Detroit ini menyaksikan penguasaan pasarannya di Amerika Syarikat susut daripada 54 % pada 1954 kepada hanya 22 % pada tahun 2008.  Kali terakhir GM merekodkan keuntungan adalah pada 2004 dengan pendapatan sebanyak AS$2.8 bilion. Syarikat ini kerugian hampir AS$88 bilion daripada 2005 hingga suku pertama tahun 2009.

Pengisytiharan muflis ini adalah sebahagian daripada pelan  Kerajaan Amerika untuk mencergaskan semula GM iaitu dengan mengecilkan saiz operasinya dan meletakkannya di bawah penguasaan kerajaan. GM juga dijangka mengumumkan cadangan penutupan 14 kilangnya.

Melalui pelan pemulihan ini , Kerajaan Amerika akan menyediakan dana tambahan bernilai AS$30 bilion  bagi menyusun semula GM agar lebih berdaya saing setanding firma pengeluar automobil kos rendah di Asia.

Kerajaan Amerika akan menguasai 60% saham dalam GM.Canada dan Ontario juga bersetuju menyuntik dana tambahan sebanyak AS$9.5 billion kepada GM di bawah pakej muflis tersebut.

Pemilikan saham GM terbaru lain-lain adalah United Auto Workers akan memegang 17.5 % saham, Kerajaan Canada 12.5 % dan para pemegang bon tidak bercagar GM 10%. Pemegang saham GM sedia ada pula dijangka akan melupuskan pegangan saham masing-masing. 

Pentadbiran Barack Obama tidak mempunyai banyak pilihan selain mengambil alih kepentingan didalam GM.Di Amerika Syarikat sahaja GM menggajikan kira-kira  92,000 pekerja.

Kesediaan GM jatuh muflis sekali gus menyelesaikan masalah yang dialami oleh syarikat dari Detriot ini , terumbang-ambing sejak gagal mendapat untung apabila penjualan kenderaannya terjejas teruk disebabkan oleh keadaan ekonomi global lemah, harga minyak yang tinggi dan krisis kredit.


sumber berita : pelbagai sumber di internet

rujukan