.

Get cash from your website. Sign up as affiliate.

Friday, September 19, 2008

KLCI susut bawah 1,000 mata


Penanda aras Indeks Komposit Kuala Lumpur (IKKL) semalam ditutup pada 991.66 mata, jatuh sebanyak 11.33 mata atau 1.13 peratus. Paras tersebut merupakan paras terendah dalam tempoh dua tahun.

Ramai berpendapat kejatuhan IKKL hari ini didorong oleh kebimbangan kesan berterusan terhadap kejatuhan pasaran dunia disebabkan oleh krisis ekonomi yang berlaku di AS.

Pasaran saham tempatan menjejaki bursa saham utama Asia lain yang mengalami kejatuhan besar pada pagi susulan kejatuhan teruk di Wall Street sebelum pulih sedikit pada petang.

Indeks Perusahaan Dow Jones menjunam 4.06 peratus atau 449.36 mata kepada 10,609.66 mata pada Rabu apabila pelabur menjangkakan lebih banyak syarikat kewangan utama Amerika Syarikat (AS) bakal berdepan masalah kewangan selepas kerajaannya mengumumkan pelan menyelamat American International Group Inc (AIG) bernilai AS$85 bilion. 

Bagaimanapun, keputusan bank pusat utama dunia termasuk European Central Bank (ECB), Bank of England, Bank of Japan, Swiss National Bank dan Bank of Canada untuk membantu Rizab Persekutuan AS merangsang kecairan menerusi suntikan dolar AS dalam pasaran kewangan global, membantu memulihkan pasaran pada sesi petang. 

Dianggarkan bank pusat berkenaan menyuntik lebih AS$300 bilion ke dalam pasaran kewangan semalam, iaitu paling besar dalam sejarah bagi mengelak berlakunya krisis kewangan global.

Rizab Persekutuan AS sendiri menyuntik tambahan AS$180 bilion ke dalam pasaran selepas mengumumkan pelan menyelamat AIG. 

KLCI yang jatuh 39.7 mata kepada 963.29 mata pada pagi kembali pulih pada sesi petang untuk ditutup pada 991.66 mata, susut 1.13 peratus atau 11.33 mata. 

Indeks Hang Seng, Hong Kong yang mendahului kejatuhan pasaran serantau apabila susut 1,272.86 mata atau 7.22 peratus kepada 16,364.33 mata pada pagi turut pulih pada sesi petang untuk ditutup pada 17,632.46 mata, susut 4.73 mata atau 0.03 peratus. 

Indeks Nikkei 225, Jepun yang merekodkan kejatuhan 445.67 mata, atau 3.79 peratus kepada 11,304.12 mata pada pagi juga pulih untuk ditutup pada 11,489.30 mata, susut 260.49 mata atau 2.22 peratus.

Di bursa utama Asia lain, Indeks Kospi Korea susut 32.84 mata atau 2.3 peratus kepada 1,392.42 mata; Indeks TSEC, Taiwan susut 158.92 mata atau 2.74 peratus kepada 5,641.95 mata dan Indek Komposit Shanghai, China Shanghai susut 33.21 mata atau 1.72 peratus kepada 1,895.84 mata.

Penganalisis MIMB Investment Bank, Shahril Anas berkata, kejatuhan IKKL hari ini didorong oleh kebimbangan kesan berterusan terhadap kejatuhan pasaran dunia disebabkan oleh krisis ekonomi yang berlaku di AS.

''Ia bermula dengan masalah gadai janji dan sub prima dan kini diikuti pula oleh masalah kewangan yang melanda syarikat-syarikat gergasi negara itu seperti Lehman Brothers dan American International Group (AIG).

''Para pelabur menjangkakan kesan buruk mungkin akan terus berlaku dan ia sekali gus menyebabkan kebimbangan dalam pasaran di Malaysia mahu pun pasaran global lain,'' katanya.

Turut memburukkan keadaan apabila pemegang insurans syarikat AIG tidak yakin dengan pengumuman Rizab Persekutuan AS untuk memberikan pinjaman kecemasan AS$85 bilion (RM272 bilion) kepada AIG bagi menyelamatkannya daripada keruntuhan telah menarik keluar pegangan polisi insurans mereka.

Impak daripada langkah yang diambil bank tersebut telah mengakibatkan pasaran saham global mengalami gelombang kejatuhan.


sumber : utusan & berita harian 

No comments:

rujukan