.

Get cash from your website. Sign up as affiliate.

Friday, February 20, 2009

Harapan kepada Pakej Rangsangan Ekonomi ke-2


Warga Malaysia masih menantikan "bajet Mini" atau pakej rangsangan kedua yang dijangka akan dibentangkan di parlimen pada 10 Mac 2009 ini.Pakej rangsangan ekonomi pertama yang diusulkan kerajaan dahulu masih belum menampakkan sebarang kesan positif dalam membantu persekitaran ekonomi semasa.Berdasarkan keadaan ekonomi semasa , kelembapan ekonomi dunia dijangka mengambil masa lebih lama untuk pulih, iaitu selepas 2010 berbanding jangkaan sebelum ini antara pertengahan 2009 atau awal 2010. 

Pakej rangsangan kedua pula dijangka akan lebih besar dan menyeluruh daripada Pakej Rangsangan pertama bernilai RM7billion yang diumumkan pada November tahun lepas.Jumlah yang lebih besar diperlukan kerana negara hanya bergantung kepada perbelanjaan domestik untuk memastikannya dapat mengharungi kemelut ekonomi semasa.Keadaan menjadi lebih kritikal kerana ketidaktentuan ekonomi dunia apabila kebanyakan syarikat-syarikat di dunia amnya dan di Malaysia khasnya  mulai melaksanakan pembuangan pekerja secara besar-besaran.Ekonomi di negara-negara maju seperti Amerika Syarikat (AS), Eropah dan Jepun terjejas teruk, sekali gus memberi kesan terhadap eksport Malaysia.Untuk itu kerajaan perlu terus melabur untuk memastikan rakyat mempunyai wang untuk berbelanja sekali gus meningkatkan agregat permintaan pengguna.

Bagi pakej rangsangan ekonomi kedua ini ,fokus juga seharusnya diberikan kepada sektor pertanian kerana ia memberi banyak peluang kepada rakyat termasuk industri, selain faedah berlipat ganda kepada kerajaan.Peruntukan besar untuk pelan rangsangan kedua ini kemungkinan akan menyaksikan defisit bajet akan meningkat melebihi 3.6% seperti yang diunjurkan kerajaan dalam Bajet 2009 lepas.Projek-projek kerajaan yang mempunyai impak berganda kepada rakyat seharusnya diutamakan disamping bantuan kepada golongan yang telah diberhentikan kerja.Inisiatif kepada industri kecil dan sederhana(IKS) serta kepada syarikat-syarikat bagi mengurangkan kos juga perlu.

Menteri Kewangan yang juga Timbalan Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Tun Razak memberi gambaran bahawa unjuran kadar pertumbuhan ekonomi Malaysia pada tahun 2009 yang telah dibuat sebelum ini pada kadar 3.5 % akan disemak semula dengan mengambil kira permintaan ke atas eksport negara yang berkemungkinan besar terjejas teruk akibat kelembapan ekonomi dunia.


Beberapa petunjuk ekonomi:

1.Jika diteliti ,penurunan eksport negara begitu ketara untuk 3 bulan terakhir 2008 iaitu -2.6%(oktober) ,-4.9%(november) dan -14.9%(Disember).

2.Bagi tempoh yang sama, indeks pengeluaran perindustrian (IPI) juga merosot -2.8%(oktober), -8.2%(november) dan -15.5%(disember).

3.Jumlah pemberhentian pekerja yang direkodkan bagi tempoh Oktober 2008 hingga Januari 2009 adalah seramai 10,277 sementara itu mereka yang terlibat di bawah skim pemberhentian sukarela (VSS) adalah seramai 4,207.

4.Kedudukan Indeks Komposit di Bursa Malaysia masih di paras rendah sekitar pada 900 mata.



Di sebalik ini semua,Malaysia masih mempunyai asas ekonomi yang kukuh bagi menyokong pertumbuhan ekonomi.

1.Rizab antarabangsa negara yang meningkat kepada AS$91.3 bilion dan mampu membiayai 7.5 bulan import tertangguh.

2.Tahap hutang tidak berbayar(NPL) juga rendah sebanyak 2.2 %.

3.Paras tabungan kasar negara kekal tinggi pada kadar 37% daripada KDNK 2008.



No comments:

rujukan