.

Get cash from your website. Sign up as affiliate.

Tuesday, November 25, 2008

OPR & SRR dikurangkan

Bank Negara Malaysia (BNM) hari ini menurunkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) sebanyak 25 mata asas kepada 3.25 peratus buat pertama kali sejak April 2006 daripada paras 3.50 peratus sebelumnya.

OPR adalah penanda aras yang digunakan bank di negara ini untuk menetapkan Kadar Pinjaman Asas (BLR) masing-masing dan penurunan itu bakal mengurangkan kadar faedah yang perlu dibayar peminjam.

BNM berkata: ''Penurunan ini turut dibuat selepas mengambil kira risiko pertumbuhan yang lebih rendah semakin nyata dan tekanan inflasi yang semakin berkurangan.''

Sambil menyatakan inflasi global telah mula menurun dan aliran itu akan berterusan, Bank Pusat berkata, perkembangan ini mendorong pihak berkuasa menyediakan sokongan kecairan secara besar-besaran kepada pasaran kewangan dan mengambil langkah penyelesaian sektor kewangan, rangsangan fiskal dan kelonggaran dasar monetari untuk menyokong pertumbuhan ekonomi.

Katanya, meskipun permintaan dalam negara kekal mapan, terdapat tanda-tanda aktiviti sektor swasta akan menjadi lebih rendah dalam keadaan pasaran pekerja yang tidak menggalakkan dan suasana perniagaan semakin mencabar.

Jawatankuasa Dasar Monetori Bank Negara juga mengurangkan Keperluan Rizab Berkanun (SRR) bank daripada empat peratus kepada 3.5 peratus berkuat kuasa 1 Disember ini. 

Langkah itu akan meningkatkan lagi kemampuan bank tempatan menyalurkan pinjaman kerana ia bakal mengurangkan jumlah dana (daripada peratusan jumlah depositnya) yang perlu disimpan oleh bank di negara ini di Bank Negara.





Sunday, November 23, 2008

Arkitektur Bank Dunia & IMF perlu berubah


Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, beliau memberitahu perbincangan para pemimpin APEC itu bahawa kawal selia sistem kewangan dunia kali ini, seperti juga yang diperlihatkan dalam krisis kewangan Asia 1997-1998, telah gagal mengesan “lebihan belanja yang keterlaluan dalam sistem kewangan antarabangsa.”

Katanya, hakikat bahawa kegawatan tersebut berulang lagi dalam skala dan impak yang lebih besar hingga mengakibatkan negara-negara dunia terjebak dalam kemelesetan menunjukkan “pemikiran lama IMF sudah tidak sah lagi.”

Beliau yang juga Menteri Kewangaan berkata, kegagalan sistem kewangan sedia ada mengawal gejala seperti pinjaman berlebihan, masalah urus niaga produk derivatif baru khususnya Credit Default Swap (CDS) dan masalah pasaran gadai janji subprima yang tidak dikawal dengan rapi merupakan punca tercetusnya krisis kewangan dunia yang dihadapi sekarang.

Najib juga memberi satu lagi contoh kelemahan besar sistem Bretton Woods yang tidak mengawal CDS yang nilai transaksinya berjumlah beberapa trilion dolar Amerika.


“Asas krisis itu ialah kurang keyakinan terhadap sistem kewangan dunia. Apa yang berlaku sekarang boleh menyebabkan pihak yang mempunyai kemampuan pun tidak akan membuat sesuatu dan berasa bimbang untuk memberi pinjaman kepada pelanggan.

“Oleh itu, sidang kemuncak APEC ini mencadangkan rangsangan fiskal dilakukan secara terselaras antara negara-negara APEC dan bukan APEC,” jelas Najib.

“Tidak diketahui banyak mana yang sebenarnya yang telah diurus niaga setakat ini.

“Untuk mengelak perkara ini berlaku lagi, satu bentuk arkitektur kewangan baru perlu digubal untuk menentukan segala lebihan belanja daripada sistem ini dapat dipantau dan diambil tindakan dengan kawal selia yang lebih berkesan,” ujarnya.


“Para pemimpin APEC telah memutuskan bahawa rangsangan fiskal dalam bentuk satu bajet pengembangan perlu dilaksanakan untuk menyelamatkan dunia daripada terjerumus ke dalam kemelesetan,” katanya.


Beliau berkata, sewajarnya institusi dalam Bretton Woods seperti Dana Kewangan Antarabangsa (IMF) dan Bank Dunia memainkan peranan menyediakan kecairan menerusi modal jangka pendek kepada negara tertentu yang berdepan masalah imbangan pembayaran. 

Oleh itu, agensi sedemikian perlu menetapkan jumlah suntikan yang diperlukan untuk merangsang aktiviti ekonomi di negara yang berdepan kemelesetan.


sumber: utusan & berita harian

Saturday, November 22, 2008

Bretton woods baru?

Malaysia mahu prasarana kewangan global yang selama ini diasaskan kepada sistem Bretton Woods yang telah berusia enam dekad direka bentuk semula bagi menangani cabaran baru ekonomi dan krisis kewangan dunia.

"Sudah tentu Bretton Woods II harus digubal oleh masyarakat antarabangsa,"  Najib dipetik berkata semasa di Lima,Peru,semasa menghadiri Sidang Kemuncak ke-16 APEC.

Beliau menambah: "Sistem kewangan global yang baru harus dan perlu digubal secepat mungkin kerana banyak produk kewangan hari ini melibatkan urusan yang begitu besar jumlah dan nilainya serta tidak ada pengawasan dan peraturan (yang mencukupi)."

Sistem Bretton Woods yang menyusun, menyelia dan menetapkan kadar tukaran mata wang dan hubungan kewangan antarabangsa selepas Perang Dunia Kedua diperkenalkan hasil pertemuan bersejarah ahli-ahli ekonomi dan kewangan di Bretton Woods, New Hampshire, AS pada 1945.

Banyak pihak menganggap krisis kewangan global sekarang yang berlaku selepas skandal kredit di AS menjadi bukti kegagalan institusi-institusi Bretton Woods yang selama ini banyak dikawal oleh kepentingan AS dan negara-negara kaya.


Selepas Perang Dunia ke-2 ,iaitu pada tahun 1945 ,deligasi seramai 730 orang mewakili 44 buah negara bertemu di Bretton woods,New Hampshire,Amerika Syarikat dan telah menandatangani Perjanjian Bretton woods.


Melalui perjanjian ini,kesepakatan telah dicapai iaitu mengiktiraf Dollar Amerika sebagai matawang rizab dunia.Untuk itu,Kerajaan Amerika telah memberi jaminan bahawa matawang Dollar Amerika sememangnya telah disandarkan nilainya kepada emas.Nilainya pada masa itu adalah USD35 = 1 auns emas.Secara tidak langsung mana-mana negara yang memiliki ataupun menyimpan Dollar Amerika adalah sama seperti menyimpan emas.Memadai bagi bank pusat di semua negara dalam dunia untuk menjadikan Dollar Amerika sebagai sandaran bagi mencetak matawang negara masing-masing.IMF(International Monetary Fund) ditubuhkan dan diiktiraf bagi memantau sistem ini.Keanggotaan IMF adalah sama dengan keanggotaan Perjanjian Bretton woods.


Di dalam satu perenggan keanggotaan IMF,emas tidak lagi dibolehkan menjadi penyelesai bayaran antara anggota IMF.


Kerajaan Amerika juga menjamin penukaran Dollar dengan emas,iaitu jika bank pusat negara yang menandatangani Perjanjian Bretton woods tidak mahu menyimpan Dollar.


Namun janji hanya tinggal janji,Pada awal tahun 1960-an,Kerajaan Amerika mula mencetak matawang Dollar secara berlebihan bagi menampung perbelanjaan perangnya di Vietnam.Dollar tidak lagi seimbang dengan simpanan emas.


Perancis dan England mula menukar Dollar dengan emas,menyaksikan Amerika Syarikat menanggung defisit hutang melebihi USD37 billion.Bermula pada tahun 1971,Presiden Amerika Syarikat pada masa itu , Richard Nixon,mengumumkan bahawa Dollar Amerika tidak lagi bersandarkan kepada rizab emas.


Negara-negara yang menandatangani Perjanjian Bretton woods juga tidak perlu lagi menyandarkan matawang mereka dengan Dollar Amerika.


Malaysia menandatangani Perjanjian Bretton woods pada tahun 1948 .Jadi Malaysia tertakluk pada perjanjian tersebut dan pastinya Ringgit dicetak tanpa bersandarkan rizab emas.Bukan Ringgit sahaja,malah hampir semua matawang di dunia adalah kertas kosong yang tidak mempunyai nilai sebenar tetapi hanyalah nilai yang dicetak."wang ini sah diperlakukan dengan nilai".

Jadi bagaimanakah bentuk sistem kewangan baru yang diperkatakan oleh Najib..??!!

Bolehkah direalisasikan..??!!Bila..??!! 



Friday, November 14, 2008

Lembu , beruang ,babi


 
Di dalam pasaran saham ada 3 ekor binatang yang selalu disebut-sebut . Nama 3 ekor binatang ini adalah istilah biasa bagi pemain pasaran , Bull(lembu jantan) , Bear(beruang) dan Pig(babi).

Sifat binatang-binatang ini selalu diterjemahkan dengan keadaan pasaran .

Bull sangat optimis.Yakin pasaran saham sentiasa menaik.Bear pula adalah berlawanan dengan Bull , pesimis , berkeyakinan bahawa pasaran sentiasa menurun.Pig pula sangat gelojoh dan tamak.

Jika anda seorang pemain pasaran,mana satukah anda.?Yang pasti tabiat 3 ekor binatang ini tidak sesuai dijadikan ikutan.

Keputusan seharusnya dibuat secara rasional.Keadaan naik turun pasaran bukanlah faktor terpenting memasuki pasaran.

Sebagai seorang pelabur anda seharusnya :

1.Mempelbagaikan pelaburan
Kepelbagaian pelaburan juga penting.Harus diingat, pasaran tidak selama-lamanya bersifat bullish.Pelaburan dalam sektor-sektor lain juga perlu umpamanya hartanah,saham amanah dan pelaburan emas.
Selain itu bagi mengurangkan risiko kerugian,sebaik-baiknya melaburlah di dalam banyak kaunter dalam pelbagai sektor pasaran dan tidak hanya tertumpu kepada satu-satu kaunter atau satu-satu sektor sahaja.

2.Membeli saham pada harga murah atau fair price.
Saham-saham murah akan mudah diperolehi semasa pasaran tidak aktif dan semasa pasaran bersifat bullish.

3.Tetapkan matlamat.
Sikap tamak sukar dibendung apabila seseorang pelabur sedang memegang lot-lot saham yang tren harganya sedang menaik.Pelabur ini akan memegang terus sahamnya dengan harapan saham itu akan terus naik lebih tinggi.Begitu juga sebaliknya pada saham-saham yang harganya dalam tren menurun.Pelabur akan terus memegang sahamnya dengan harapan satu hari nanti harganya akan naik.
Cara yang lebih baik adalah menetapkan matlamat harga untuk menjual saham tersebut.Umpamanya menjual saham tersebut pada fair price apabila harganya sedang menaik dan juga tetapkan risiko kerugian umpamanya 10%  , menjualnya jika harga saham tersebut jatuh pada kadar 10% atau lebih.

4.Jauhi saham popular (fad stock)
Apabila ramai pelabur mula memberi perhatian kepada satu-satu kaunter ia akan menyebabkan kaunter itu enjadi sangat popular.Jika ingin mengurangkan risiko kerugian jauhi kaunter-kaunter popular , kerana kenaikan harganya sama dengan kejatuhan harganya .Dalam bahasa mudahnya,cepat naik,cepat turun.

5.Jangan gunakan Tip 'panas'(hot tips)
Mengapa perlu rahsia ini dibocorkan untuk pelabur lain mengetahuinya?Elakkan membeli berasaskan hot tips.

6.Memahami Break even psychology(Psikologi pulangan modal)
Pelabur ini menunggu terlalu lama untuk saham yang dipegangnya kembali meningkat harganya.Kerana telah terlepas peluang mengaut keuntungan , kini modal pun tak dapat , sepatutnya pelabur telah lama menjual saham ini dan membeli saham lain.

7.Jangan menggunakan analisis jangka panjang untuk membuat spekulasi jangka pendek.
Kadang-kadang pelbagai pihak mengeluarkan laporan sesuatu syarikat beserta sasaran harga saham syarikat tersebut.Disebabkan pasaran lambat bertindak balas terhadap laporan tersebut,ia tidak seperti dijangkakan.Banyak faktor lain perlu diambil kira , umpamanya keadaan ekonomi , kepercayaan pelabur dan lain-lain.

8.Bijak menggunakan kaedah Averaging down
Encik A membeli 1 lot saham X pada harga RM2.oo/unit , tetapi saham X terus jatuh kepada RM1.50/unit.Encik A membeli 1 lot lagi saham X , dengan harapan mendapat harga purata seunit rendah dan mengurangkan risiko kerugian yang besar.Berhati-hati , masalah akan menjelma apabila harga terus turun.

9.Berhati-hati menggunakan kaedah pyramiding
Teknik ini berlawanan kepada kaedah averaging down.Pyramiding digunakan dengan harapan pasaran akan bullish.Masalah jika pasaran bearish.


Thursday, November 6, 2008

RM7billion Pakej rangsangan ekonomi

4 November 2008 , Menteri Kewangan , Datuk Seri Najib Tun Razak ,mengumumkan pakej rangsangan ekonomi bernilai RM7 bilion sebagai tambahan kepada bajet 2009.Dengan keadaan pertumbuhan ekonomi dunia semakin perlahan,Kerajaan melalui pakej ini masih menggunakan pendekatan yang sama seperti bajet 2009 iaitu terus menggalakkan perbelanjaan domestik dengan harapan ia akan mengekalkan momentum pertumbuhan ekonomi negara.

Projek-projek infrastruktur yang dekat dengan rakyat seperti pembinaan rumah kos rendah ,sekolah , jalan-jalan raya di beri tumpaan agar sektor pembinaan terus rancak dan rakyat mendapat manfaatnya.

Berikut adalah intipati pakej ransangan ini :

1.RM1.2 bilion diperuntukkan bagi membina lebih banyak rumah kos rendah dan sederhana.

2.RM500 juta diperuntukkan bagi menaik taraf, membaik pulih dan menyelenggara balai dan kuarters polis serta kem dan kuarters tentera.

3.RM600 juta diperuntukkan bagi projek-projek kecil di bawah program Penyelenggaraan Infrastruktur Awam (PIA) dan Projek Infrastruktur Asas (PIAS), contohnya menyenggara jalan kampung, membina balai raya dan jambatan kecil.

4.M500 juta diperuntukkan bagi menyenggara dan membaik pulih kemudahan awam; antaranya sekolah, hospital dan jalanraya.

5.RM500 juta akan diperuntukan untuk membina, menaiktaraf jalan-jalan di luar bandar, jalan-jalan kampung dan  dan jalan-jalan pertanian, termasuk di Sabah dan Sarawak.

6.RM200 juta kepada empat kumpulan sekolah iaitu sekolah agama bantuan kerajaan,"mission school", SJK Cina dan SJK Tamil.

7.RM300 juta diperuntukkan bagi menubuhkan dana untuk melaksanakan program latihan kemahiran yang ditumpukan ke arah memenuhi keperluan majikan dan industri, terutamanya di Koridor-koridor Pembangunan.

8.RM500 juta bagi menyelenggara dan memantapkan lagi sistem pengangkutan awam khususnya sistem LRT, Komuter dan sistem bas di bandar-bandar utama.

9.RM1.5 bilion diperuntukkan bagi menubuhkan Dana Pelaburan untuk menarik lebih banyak pelaburan sektor swasta.

10.RM400 juta ringgit diperuntukkan bagi menyegerakan pelaksanaan Projek Jalur Lebar Berkelajuan Tinggi.

11.RM200 juta untuk membina modal insan melalui program-program latihan yang diurus oleh kementerian yang berkaitan.

12.RM100 juta untuk memperkasakan golongan belia melalui program program baru.

13. RM200 juta untuk menggerakkan semula projek perumahan yang terbengkalai di kawasan-kawasan strategik terpilih dan berdaya maju.

14.RM100 juta untuk menambahkan premis perniagaan di samping memperindahkan suasana pekan-pekan kecil yang terpilih di seluruh negara.

15.RM200 juta diperuntukkan untuk pendidikan awal kanak-kanak di peringkat umur 1 hingga 6 tahun.

16.Menghapuskan duti import bagi simen dan keluaran besi keluli panjang (long iron and steel products) untuk sektor pembinaan dan pembuatan. Di samping itu, semua Approved Permit (AP) bagi eluaran besi keluli panjang akan dikecualikan.

17.Membenarkan individu atau entiti asing untuk membeli hartanah komersil bernilai RM500,000 atau lebih.

18.Bagi memudahkan proses pengambilan pekerja asing berasaskan pengetahuan (knowledge worker), permit kerja, yang pada masa ini diberi kepada majikan, akan juga diberi secara langsung epada pekerja tersebut. 

19.Kerajaan, melalui syarikat GLCs seperti Khazanah dan PNB akan melancarkan “Graduate Employability Management Scheme” (GEMS), yang didasarkan kepada skim graduan terdahulu yang telah dilaksanakan oleh syarikat-syarikat GLC dengan jayanya. Kerajaan bercadang untuk menyokong dan menyelaraskan usaha-usaha GLC dalam menangani masalah graduan menganggur ini dengan mewujudkan satu program bagi meningkatkan keupayaan dan kemahiran mereka sebelum mereka diserap atau mendapat pekerjaan di syarikat GLC mahupun swasta. 

20.Mempercepatkan pengambilan kakitangan bagi jawatan yang kritikal dan amat diperlukan dalam sektor awam.

Tuesday, November 4, 2008

dilema sistem perbankan islam terutamanya di malaysia


Krisis kredit di Amerika mula menyedarkan ramai umat-manusia bahawa keruntuhan sistem ekonomi kapitalis saat ini wajar dijadikan pengajaran.Namun ramai juga mula memikirkan apakah sistem ekonomi ataupun sistem kewangan yang seharusnya diterapkan untuk digunapakai.Ramai mula mencari alternatif , antara yang dilihat sedang hangat di pasaran adalah sistem kewangan Islam.

Antara sebahagian ciri-ciri yang dilihat lebih adil dan saksama dalam kewangan Islam adalah :

1.Penglibatan secara pasaran nyata aset bukan secara pembiayaan hutang dan berriba'.
2.Perkongsian modal dan keuntungan bersama .
3.Tidak wujud total pasaran bebas tanpa sebarang kawalan .

Namun kini adakah Umat Islam itu sendiri bersedia untuk membangunkan sistem kewangan yang benar-benar berlandaskan syariah..??

Persoalan di atas masih ada optimis dan pesimisnya.

Salah satu contoh yang paling dekat dengan kita adalah keputusan Hakim Datuk Abdul Wahab Patail pada 18 Julai 2008 yang lalu membuat penghakiman bahawa kontrak yang menggunakan kaedah pembiayaan Al-Bai Bithaman Ajil(BBA) yang digunakan dalam urusan pembelian rumah adalah terbatal kerana menyalahi dan bertentangan dengan Akta Perbankan Islam 1984.Namun begitu , Persatuan Bank-Bank Islam Malaysia sedang menunggu keputusan rayuan berhubung perkara ini.

Hanya melihat dari segi sudut yang sempit pun sudah menampakkan senario sebenar.

Beberapa persolan mungkin bermain difikiran :

1.Adakah kini sistem kewangan dan sistem ekonomi berteraskan Islam benar-benar Islamik.?
2.Adakah sistem kewangan Islam yang ada sekarang dipantau oleh mereka yang benar-benar mahir selok-belok syariah.?
3.Tiadakah atau bolehkah sistem kewangan Islam dibangunkan sendiri tanpa perlu disesuaikan seakan-akan menyerupai sistem konvensional.?
4.Adakah ruang dan waraskah untuk bank-bank Islam itu sendiri menggunakan matawang syariah umpamanya Dinar Emas.? 


rujukan